Ahad, 12 March 2017 | 6:28pm
TOYOTA Hilux yang dinaiki ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang.- Foto ihsan Bomba
Teksi yang terbabit dalam kemalangan dengan kereta ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang.
ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang dan anggota bomba melihat kerja pembersihan tumpahan minyak yang menyebabkan kemalangan di Jalan Sultan Tengah, Kuching hari ini.

Kereta YB dilanggar teksi

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang, menempuh detik mencemaskan apabila kenderaan dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah teksi di Jalan Sultan Tengah di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, pemandu teksi yang dalam perjalanan dari Kuching ke Damai dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika melalui jalan licin akibat tumpahan minyak.

Khere Chiang bersama tiga lagi rakannya yang menaiki Toyota Hilux dalam perjalanan ke Damai, tergamam apabila melihat teksi berkenaan berpusing beberapa kali di arah bertentangan.

"Rakan saya yang memandu cuba mengelak dengan beralih ke bahu jalan tetapi pemandu teksi itu melanggar bahagian kereta yang kami naiki.

"Tindakan rakan saya mengelak ke bahu jalan menyelamatkan keadaan daripada menjadi lebih teruk," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khere Chiang bersyukur kerana tiada sesiapa yang cedera dalam kejadian itu manakala pemandu teksi berkenaan tidak membawa penumpang.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 1.57 tengah hari.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya dihantar ke tempat kejadian dan setibanya di lokasi pada jam 2.21 petang, pihaknya mendapati minyak tumpah menyebabkan jalan berkenaan licin.

"Bomba membersihkan tumpahan minyak itu menggunakan pasir bagi mengelak lebih kenderaan lain menjadi mangsa," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X