Ahad, 12 March 2017 | 9:04am

Datuk Bandar Rotterdam keluar perintah kecemasan


POLIS anti rusuhan Belanda mengadakan kawalan di konsulat Turki di Rotterdam. - Foto AP

THE HAGUE: Datuk Bandar Rotterdam mengeluarkan perintah kecemasan lewat semalam dalam cubaan membendung demonstrasi pro-Turki di luar konsulatnya, bertukar menjadi zon sengketa dalam hubungan tegang antara Belanda dan Turki.

Datuk Bandar Ahmed Aboutaleb berkata, beliau memerlukan kuasa khas bagi menjamin keselamatan di seluruh bandar itu bimbang lebih ramai lagi menyertai bantahan dan ada 'kebimbangan serius' rusuhan mungkin berlaku.

Di bawah kuasa itu, lebih mudah pihak berkuasa menyuraikan penduduk daripada kawasan diplomatik seperti konsulat.

Sementara itu, pihak berkuasa Belanda mengarahkan Menteri Keluarga, Turki Fatma Betul Sayan Kaya supaya 'mengambil jalan paling pendek ke Jerman' dari mana beliau datang untuk memasuki konsulat di Rotterdam.

Rakaman video di rangkaian NOS menunjukkan, pertelingkahan berlaku antara Kaya dan seorang pegawai polis Rotterdam.

Selepas diarahkan berkumpul bersama konvoinya, Kaya membalas dengan berang: "Saya akan pergi ke bangunan konsulat. Ia adalah bangunan milik negara saya dan saya seorang menteri negara itu."

"Tiada amalan antarabangsa seperti itu. Saya tidak menerima keputusan, saya menolaknya dan enggan kembali semula ke Jerman," tambah Kaya.

Hampir dengan kawasan konsulat, bantahan diadakan oleh kira-kira 1,000 penunjuk perasaan pro-Turki.

Pada masa sama, kira-kira 500 penunjuk perasaan berkumpul berhampiran Kedutaan Belanda di Ankara, melaungkan slogan bantahan ke atas Belanda kerana melarang menteri Turki daripada menghadiri perhimpunan politik di sana.

Televisyen tempatan TRT melaporkan, sesetengah penunjuk perasaan membaling telur ke arah bangunan namun diberi amaran supaya mengadakan bantahan secara aman. -AP

Berita Harian X