Sabtu, 11 March 2017 | 5:33pm

Lembaga Tenusu diwujudkan tahun 2018 - PM


NAJIB Razak mencuba minuman susu Farm Fresh ketika mengadakan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Tenusu Muadzam Shah (MSCRIC), Kilometer 6, Jalan Rompin-Muadzam (MSCRIC). - Foto Muhd Asyraf Sawal

MUADZAM SHAH: Kerajaan akan menubuhkan Lembaga Tenusu tahun hadapan bagi menggalakkan rakyat minum susu segar, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, ketika ini secara purata rakyat Malaysia minum susu segar 19.9 liter setahun berbanding 100 hingga 150 liter setahun rakyat Eropah dan Amerika Utara, selain 30 hingga 100 liter setahun rakyat India, New Zealand dan Jepun.

Beliau berkata, Lembaga Tenusu itu akan diketuai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani selain dianggotai Kementerian Kesihatan; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pendidikan Tinggi serta Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"Lembaga ini bertanggungjawab bagi mengembangkan pembangunan industri tenusu negara secara holistik.

"Kita juga menetapkan sasaran rakyat minum 50 liter susu segar setahun pada tahun 2050.

"Jadinya, kita perlukan 2.260 bilion liter susu daripada 502,000 lembu dalam masa 30 tahun berbanding 21,000 lembu ketika ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat  Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah (MSCRIC), di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Pengarah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia  (MARDI), Datuk Dr Sharif Haron.

Berita Harian X