Sabtu, 11 March 2017 | 5:00pm
OPERASI mencari kehilangan Maxmecluess Kalat Tommy selepas dihanyutkan arus deras apabila perahu dinaikinya terbalik sejurus merempuh sebuah tongkang berhampiran Jeti Pasar Baharu Kapit, Kapit semalam. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat Sarawak

Remaja hanyut di Sungai Rajang


OPERASI mencari kehilangan Maxmecluess Kalat Tommy selepas dihanyutkan arus deras apabila perahu dinaikinya terbalik sejurus merempuh sebuah tongkang berhampiran Jeti Pasar Baharu Kapit, Kapit semalam. - Foto ihsan Bomba dan Penyelamat Sarawak

KAPIT: Seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras apabila perahu dinaikinya terbalik sejurus merempuh sebuah tongkang berhampiran Jeti Pasar Baharu Kapit, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu, Maxmecluess Kalat Tommy, 19, bersama rakannya, Jeffery Jamin, 17, dalam perjalanan menyeberangi Sungai Rajang di sini, tiba-tiba enjin perahu dinaiki rosak sebelum hanyut lalu merempuh sebuah tongkang berhampiran.

Difahamkan, kedua-dua remaja terbabit terjun dari perahu berkenaan untuk menyelamatkan diri, namun mangsa dihanyutkan arus deras sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kapit, Erwandy Tugor, berkata ahli keluarga dan rakan mangsa berusaha mencari remaja itu di sekitar lokasi kejadian, namun gagal sebelum menghubungi bomba meminta bantuan.

"Balai Bomba dan Penyelamat Kapit dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 tengah malam sebelum lapan anggota dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Ops SAR disambung semula kira-kira jam 8 pagi tadi, dengan jumlah kekuatan anggota dan aset, termasuk bot penyelamat ditambah di lokasi kejadian, " katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Erwandy berkata, pasukan penyelamat menjalankan operasi pencarian di kawasan radius tiga kilometer ke bahagian hilir Sungai Rajang dari lokasi kejadian.

"Anggota penyelamat menggunakan kaedah pencarian di permukaan air, namun sehingga jam 4 petang mangsa masih belum ditemui, " katanya.

Berita Harian X