Sabtu, 11 March 2017 | 2:55pm

RM3 juta biaya pelajar ke IPT - PM


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017, di Padang Majlis Daerah Bera, hari ini. - Foto Farizul Hafiz Awang

BERA: Bank Rakyat menyediakan peruntukan RM3 juta bagi pembiayaan pelajar miskin yang layak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2017, di Padang Majlis Daerah Bera, di sini, hari ini.

"Dalam usaha membantu pelajar tidak berkemampuan yang layak ke IPT, suka saya umumkan bahawa Bank Rakyat bersetuju menyediakan peruntukan berjumlah RM3 juta untuk tujuan itu.

"Ini bermakna, mereka (pelajar) yang terpilih melanjutkan pengajian ke IPT akan menerima RM300 sebaik mereka terima surat tawaran, RM300 lagi apabila mendaftar ke IPT masing-masing dan bakinya (RM900) akan dimasukkan ke akaun mereka.

"Bagi tujuan ini, kita jangka kira-kira 2,000 pelajar tidak berkemampuan akan mendapat manfaatnya," katanya.

Yang turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Pengerusi Jawatankuasa Induk JPB 2017, Profesor Emiritus Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar.

Berita Harian X