Sabtu, 11 March 2017 | 1:41am

Melonjak atau keciciran buat Liverpool?

KOLUM APA KATA EPL

Minggu ini hanya empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) berlangsung. Ini bagi memberi laluan kepada saingan suku akhir Piala FA yang juga diadakan pada hujung minggu ini.

Perlawanan EPL minggu ini membabitkan Hull City menentang Swansea City, Everton-West Brom dan Bournemouth-West Ham, yang semuanya berlangsung jam 11 malam ini, manakala satu lagi perlawanan antara Liverpool-Burnley pada tengah malam esok.

Dengan ketiadaan aksi membabitkan lima pasukan teratas liga, sudah tentu fokus terarah kepada perlawanan di Anfield antara anak buah Jurgen Klopp dengan barisan pimpinan Sean Dyche itu.

Saya jangkakan perlawanan ini bakal memberi kesukaran kepada skuad The Reds. Penulis melihat bukanlah mudah untuk mengenepikan pasukan tangga pertengahan seperti skuad The Clarets ketika saingan musim ini semakin ke penghujungnya,

Apalagi, pada pertemuan pertama di laman sendiri, Burnley berjaya mengejutkan Liverpool dua gol tanpa balas. Jaringan Andre Gray pada minggu kedua itu sememangnya sukar dilupakan Liverpool, tatkala ketika itu mereka disebut-sebut sebagai pasukan pilihan menjuarai liga musim ini.

Itu adalah jaringan pertama Burnley ke atas The Reds sejak sekian lama. Gray adalah juga penjaring terbanyak pasukannya setakat ini dengan lapan gol, termasuk dua ketika mereka tewas 3-2 di tangan Swansea minggu lalu.

Mampukah pertahanan, Joel Matip mengekang Gray pada aksi ini selepas Dejan Lovren and Ragnar Klavan gagal berbuat demikian pada perlawanan pertama? Yang pasti, Burnley harus memenangi aksi ini bagi mengelak terjerumus ke zon penyingkiran.

Perlawanan ini juga sangat penting buat Klopp. Tiga mata harus menjadi milik The Reds bagi memastikan mereka terus berada dalam kelompok empat terbaik yang menjanjikan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan.

Andai menang, mereka memang tidak dapat memintas Manchester City dan Tottenham Hotspur di posisi ketiga dan keempat liga, namun ia sekurang-kurangnya dapat menjarakkan kedudukan daripada Arsenal yang masih memiliki kelebihan dua perlawanan.

Kemenangan akan membolehkan Liverpool mengumpul 55 mata, ketinggalan 11 mata di belakang Chelsea yang berada di puncak, manakala hanya satu mata di belakang Spurs dan City.

Andai seri atau tewas, ia sudah pasti akan memberi peluang kepada barisan Arsene Wenger untuk memintas mereka yang kini menghimpun 50 mata. Malah ia sudah pasti turut memberi motivasi buat Manchester United untuk memintas mereka selepas anak buah Jose Mourinho itu kini memiliki 49 mata tapi kelebihan dua aksi.

Sukar untuk meramalkan keputusan perlawanan ini, namun andai Liverpool masih ada sindrom tewas kepada pasukan kerdil, saya jangkakan mereka mungkin gigit jari sekali lagi di tangan Burnley.

Sementara itu, Hull dijangka berdepan cabaran sukar ketika menentang Swansea. Namun sebagai tuan rumah, mereka ada kelebihan untuk menang aksi ini agar dapat keluar dari zon penyingkiran. Pada aksi terakhir minggu lalu, mereka tewas 1-3 kepada Leicester City.

Everton pula dijangka tiada masalah untuk menjinakkan West Brom bagi merapatkan kedudukan dengan United, dalam usaha memburu tempat ke saingan Liga Europa musim depan. Mereka kini menghimpun 44 mata.

Bournemouth yang mengejutkan United di Old Trafford minggu lalu, harus berwaspada apabila menyambut kunjungan West Ham yang juga sedang berusaha untuk keluar dari zon penyingkiran.

Dalam pada itu, empat perlawanan suku akhir Piala FA akan berlangsung hujung minggu ini. Ia membabitkan aksi antara Middlesbrough dan City, Arsenal-Lincoln City, Tottenham Hotspur-Millwall dan Chelsea-United. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-28

Hull City 2 Swansea City 2

Everton 3 West Brom 1

Bournemouth 2 West Ham 2

Liverpool 3 Burnley 2

Piala FA - Suku Akhir

Middlesbrough 0 Manchester City 4

Arsenal 3 Lincoln City 0

Tottenham Hotspur 3 Millwall 0

Chelsea 1 Manchester United 1

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarah Sukan BH

Berita Harian X