Jumaat, 10 March 2017 | 11:04pm

Spa terkilan tak dapat bantu MU jumpa Pahang


KAPTEN Melaka United, IIija Spasojevic. - Foto 90 Minit

MELAKA: Kapten Melaka United, IIija Spasojevic mengakui terkilan tidak dapat bersama Melaka United ke Kuantan bagi aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, malam esok.

Spasojevic atau lebih mesra dipanggil Spa terpaksa dipinggirkan sejak beberapa aksi lalu kerana masih belum sembuh daripada masalah kecederaan.

"Memang saya terkilan kerana tidak dapat bersama rakan-rakan lain. Apakan daya kecederaan hamstring ini belum pulih sepenuhnya. Namun saya percaya pasukan mampu beraksi cemerlang dan mengejutkan Pahang," katanya kepada BH Online.

"Jika boleh, saya mahu bermain selepas tidak berpeluang beraksi ketika bertemu Kedah minggu lalu, selain hanya sempat merasai saingan kira-kira 10 minit ketika berdepan Pulau Pinang sebelum itu.

"Semalam doktor mengesahkan kecederaan saya masih belum pulih sepenuhnya, sekali gus memaksa saya berehat daripada menyertai rakan-rakan ke Kuantan," katanya.

Spa berkata dia mungkin kembali menyertai skuad berkenaan dalam tiga perlawanan terakhir liga iaitu bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT), FELDA United dan PKNS FC selepas ini.

Mengulas lanjut, Spa percaya teguran Presiden Persatuan Bola Sepak  Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron sebelum ini supaya MU segera bangkit, mampu menyuntik motivasi buat semua pemain apabila berdepan skuad Tok Gajah.

Katanya, semua pemain berazam meningkatkan prestasi selepas aksi kurang konsisten pada perlawanan liga sebelum ini.

"Walaupun tewas 1-3 pada aksi Liga Super tiga minggu lalu di laman sendiri, saya amat mengharapkan skuad ini mencipta sentuhan terbaik di Kuantan, walaupun tanpa khidmat saya," katanya.

Berita Harian X