Jumaat, 10 March 2017 | 8:26pm

Ghazal, zapin tetap didendang selepas kecoh


MOHD Dzurri Bachok. - Foto NSTP

RIYADH: Pelajar Kumpulan Ghazal dan Zapin Sekolah Seni Malaysia Johor tetap bersemangat meneruskan persembahan di sebalik kekecohan yang ditimbulkan seorang warga tempatan di Astaka Malaysia di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) di sini, malam tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 8.50 malam itu (1.50 pagi Malaysia), lelaki berkenaan menceroboh Astaka Malaysia di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC) dan membuat kecoh.

Lelaki tempatan itu mencampak mikrofon serta alat muzik gambus ke lantai sambil menjerit membantah persembahan tarian zapin terbabit.

Bagaimanapun, tindakan itu dibantah oleh pengunjung tempatan lain yang sejak awal sudah berpusu-pusu untuk menyaksikan persembahan berkenaan.

Guru Pengiring yang juga Guru Muzik Sekolah Seni Malaysia Johor, Mohd Dzurri Bachok, berkata kekecohan itu berlaku ketika beliau sedang diwawancara oleh stesen televisyen Arab Saudi ketika pelajarnya membuat pementasan zapin.


AIZAT Azhar

"Sebelum ini, insiden seumpama itu belum pernah berlaku walaupun sudah mengadakan persembahan termasuk di luar negara seperti Russia, Sepanyol dan China.

"Sebagai guru, keselamatan pelajar memang menjadi keutamaan sehingga pada peringkat awal mahu menghentikan persembahan tetapi penganjur RIBF 2017 sendiri yang meminta persembahan itu diadakan," katanya kepada media di Hotel Tiara di sini, hari ini.

Sementara itu, Aizat yang juga Pelajar Tingkatan 5 Sekolah Seni Malaysia Johor, mengakui terkejut kerana tidak menjangkakan insiden berkenaan apatah lagi selepas menerima sambutan baik oleh pengunjung tempatan yang terhibur dengan persembahan mereka.

"Syukurlah gambus yang dicampak itu tidak rosak dan semangat saya serta 11 rakan juga tidak luntur.

"Malah mereka bertambah semangat untuk mengadakan persembahan ghazal dan zapin," katanya.


OSAMA Yamani Jamal Ubadillah

Anak penyanyi popular, Datuk Jamal Abdillah, iaitu Obama Yamani Jamal Ubaidillah, 16, yang juga vokalis dan pemain gitar kumpulan ghazal serta zapin itu, berkata keluarganya dan rakan-rakan tidak perlu risau mengenai keselamatan mereka ekoran insiden berkenaan.

"Ia menjadi pengalaman berharga kepada kami dan mendedahkan pelbagai sikap segelintir warga tempatan," katanya.

Malaysia dijemput menjadi Negara Tetamu Kehormat di RIBF 2017 yang disertai seramai 550 penerbit dari Arab Saudi, negara serantau dan antarabangsa.

Selain menampilkan pelbagai judul, Malaysia turut membawa persembahan kebudayaan yang dipersembahkan setiap hari, penyair dan kartunis tanah air.

Sementara itu, Kementerian Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi akan memperketatkan kawalan keselamatan sepanjang persembahan ghazal dan zapin di Astaka Malaysia di RIBF.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataannya berkata, pihak Arab Saudi memohon maaf di atas kekecohan kecil ketika tarian zapin dipersembahkan sebagai acara kebudayaan Malaysia yang dijemput sebagai Negara Tetamu Kehormat RIBF 2017.

"Pihak Arab Saudi menyifatkan kekecohan itu adalah tindakan individu dan siasatan sedang dibuat oleh agensi keselamatannya bagi mengenal pasti individu terbabit.

"Pada masa sama, persembahan di Astaka Malaysia akan diteruskan berikutan sambutan hangat masyarakat Arab Saudi terhadap zapin dan ghazal," kata kenyataan itu.

Mengikut kenyataan itu, persembahan dua kali sehari itu antara lain bertujuan menarik pengunjung memeriahkan acara ilmu di RIBF.

Persembahan ghazal dan zapin itu turut dipertontonkan pada acara perasmian RIBF 2017 pada Rabu lalu yang disempurnakan Menteri Penerangan dan Kebudayaan Arab Saudi, Dr Adel Al-Toraifi dan dihadiri Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku Ketua Delegasi Malaysia.

Berita Harian X