Isnin, 29 Disember 2014 | 11:26am

27 pesakit terjejas banjir di Kelantan dipindahkan ke Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seramai 27 pesakit dari Kelantan dipindahkan ke tiga buah hospital di negeri ini sejak kelmarin.

Setakat ini, mereka ditempatkan di tiga buah hospital iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Hospital Besut (HB) dan Hospital Hulu Terengganu.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr Mohamad Omar, berkata seramai 27 pesakit itu di bawa dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Hospital Tumpat dan Hospital Tanah Merah.

Beliau berkata, seramai 18 pesakit HRPZII ditempatkan di Hospital Hulu Terengganu selain lima pesakit di Hospital Besut dan empat di HSNZ.

"Kita akan menerima pesakit dari negeri itu yang akan dipindahkan ke negeri ini secara berperingkat. Pesakit dipindahkan ke hospital di negeri ini berikutan masalah banjir besar yang melanda di negeri itu," katanya.

Mohamad berkata, pesakit dari Hospital Tanah Merah hanya mendapatkan rawatan cuci darah bagi penyakit buah pinggang di Hospital Besut.

Beliau berkata, seorang pesakit dari Tumpat kini ditempatkan di HB manakala empat pesakit di HSNZ.

"Semua pesakit yang dimasukkan ke hospital menerima pelbagai rawatan penyakit dan kita berusaha memberikan perkhidmatan terbaik merawat mereka.

"Bagaimanapun, kita turut menerima dua pesakit yang dikategorikan serius membabitkan patah kaki dan jangkitan kuman dalam perut. Mereka kini ditempatkan di HSNZ," katanya.

Berita Harian X