Jumaat, 10 March 2017 | 1:32am

IRGC uji peluru berpandu tentera laut


- Foto fail AP

ANKARA: Pengawal Kor Revolusi Iran (IRGC) berjaya menguji peluru berpandu tentera lautnya, satu tindakan yang mungkin meningkatkan kebimbangan Washington berikutan kapal perangnya turut beroperasi di perairan berhampiran negara itu, lapor agensi berita Tasnim, hari ini.

Tasnim berkata, peluru berpandu yang dipanggil Hormuz 2 itu mampu memusnahkan sasaran yang bergerak di laut pada jarak sehingga 300 kilometer. Peluru berpandu ini dibina di Iran, kata Tasnim.

"Minggu ini, peluru berpandu balistik tentera laut dinamakan Hormuz 2 berjaya memusnahkan sasaran pada jarak 250 kilometer," kata komander Tentera Aeroangkasa IRGC, Amir Ali Hajizadeh, menurut Tasnim.

Ujian peluru berpandu itu adalah insiden terbaru dalam persaingan sekian lama antara Iran dan Amerika Syarikat di kawasan sekitar Selat Hormuz, yang mengawal pintu masuk ke Teluk.

Kira-kira 20 peratus daripada minyak dunia melalui jalan air itu yang mana titik paling sempitnya adalah kurang daripada 40 kilometer lebar.

Pada Januari lalu, kapal pemusnah AS melepaskan tiga das tembakan amaran ke arah empat bot laju penggempur Iran berhampiran selat itu selepas bergerak menghampiri kapal itu pada kelajuan tinggi dan tidak mengendahkan arahan supaya memperlahankan bot. - REUTERS

36 dibaca
Berita Harian X