Jumaat, 10 March 2017 | 12:03am

Piala FA: MU sedia dedah kelemahan Pahang


Jurulatih Melaka United (MU), Eric Williams. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

MELAKA: Jurulatih Melaka United (MU), Eric Williams mengakui Pahang adalah pasukan lebih handal tetapi anak buahnya akan mengeksploitasi kelemahan skuad itu untuk mencari kemenangan dalam pertembungan pusingan ketiga Piala FA di Kuantan, Sabtu ini.

Walaupun Pahang memiliki kelebihan aksi di gelanggang sendiri, Williams menegaskan pasukannya akan berusaha menerobos beberapa kelemahan yang dikenal pasti dalam misi mengejutkan skuad Tok Gajah.

Katanya, dia yakin pemainnya mampu bangkit dengan lebih bersemangat selepas mempamerkan aksi kurang bermaya sebelum ini.

"Beberapa formasi taktikal yang disusun diharap mampu diterjemah pemain seperti mana ketika mereka melakukan asakan pada penghujung babak kedua perlawanan Liga Super berdepan Pahang di Stadium Hang Jebat, dua minggu lalu.

"Jadual terlalu padat, dengan terpaksa beraksi tujuh perlawanan dalam tempoh 21 hari, tidak termasuk perjalanan jelas memberi impak terhadap aksi pemain," katanya.

Malah beberapa pemain dijangka tidak dapat beraksi akibat kecederaan pada perlawanan di Kuantan termasuk kapten, IIija Spasojevic tetapi Williams berharap pemain gantian mampu menggalas tugas dengan efektif.

Berita Harian X