Khamis, 9 March 2017 | 8:21pm

Pilih Saga atau Bezza?


PERODUA Bezza (kiri) dan Proton Saga.

KENAIKAN harga petrol dan kos sara hidup mendorong orang ramai kini memilih kereta yang mampu memberi penjimatan bahan api serta pada masa sama tidak mengabaikan keselesaan pemanduan, sama ada ruang untuk penumpang mahupun barangan.

Justeru, tumpuan pilihan sudah tertentu terarah kepada dua model yang memenuhi kriteria berkenaan iaitu Perodua Bezza dan Proton Saga, yang masing-masing dilancarkan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) dan Proton Holdings Bhd (PROTON) pada tahun lalu.

Namun, dengan tema ditonjolkan untuk kedua-dua kereta berkenaan agak sama iaitu 'kereta sedan paling mampu milik', selain masing-masing menawarkan ciri kelebihan tersendiri, ia pasti menyukarkan orang ramai membuat pilihan pembelian.

Bagi membantu bakal pembeli mendapatkan gambaran mengenai kedua-dua model terbaharu PERODUA dan PROTON berkenaan, BH Auto baru-baru ini memandu uji varian mewah Perodua Bezza Advance 1.3L (Automatik) dan Proton Saga 1.3L Premium CVT (Automatik).

Dari segi reka bentuk luaran, Bezza dilihat menonjolkan penampilan `cool' dan lembut dengan reka bentuk bahagian depan yang kontemporari serta mengujakan. Ia terutama lampu utama halogen reflektor berkembar yang dilengkapi kemasan krom, menjadikannya seakan kereta mewah.

Reka bentuk bahagian sisi juga agak menarik dan sedap mata memandang. Cuma reka bentuk bahagian belakang yang agak tinggi, menerima banyak `komen' daripada orang ramai.

Berbeza dengan Bezza, reka bentuk luaran Saga pula dikatakan menonjolkan penampilan yang lebih sasa. Ia terutama menerusi pemandangan dari belakang, yang juga antara bahagian menampilkan rekaan terbaik Saga.

Reka bentuk bahagian sisi dan depan Saga juga agak menarik kerana ia diberikan pembaharuan sepenuhnya berbanding model sebelumnya.

Dari segi saiz, Saga yang berukuran panjang 4,331 mm dan lebar 1,689 mm, mengatasi sedikit Bezza (panjang 4,150 mm dan lebar 1,620 mm). Begitu juga jarak roda Saga (2,465 mm) lebih 10 mm berbanding Bezza (2,455mm).

Namun dari segi ketinggian, Bezza (1,510 mm) lebih tinggi daripada Saga (1,491 mm). Bezza (508 liter) juga memiliki kelebihan ketara dari segi ruang but berbanding Saga (420 liter).

Melangkah masuk ke dalam kabin, Bezza menawarkan ruang selesa untuk mereka yang bersaiz normal. Papan pemuka kelihatan kemas dan bersifat mesra pengguna, tempat duduk dibaluti kulit berwarna hitam, begitu juga stereng serta tombol gear yang turut dibaluti kulit. Seperti juga model Axia, stereng Bezza tidak boleh dilaras.

Saga juga menawarkan ruang kabin yang memadai untuk pemandu dan penumpang yang bersaiz normal. Ia dilengkapi papan pemuka baharu yang sepadan untuk sebuah sedan, manakala tempat duduk dibaluti fabrik deluxe, selain stereng boleh dilaras mengikut kesesuaian pemandu.

Dari segi prestasi, Bezza yang dikuasakan enjin 1.3L Dwi VVT-I, mampu menghambur output maksimum, 70kw/6,000rpm, tork maksimum 121nm/4,000rpm serta kadar penggunaan bahan api 22 km/l (dengan sistem Eco Idle atau sistem henti melahu).

Model ini juga adalah Kenderaan Jimat Tenaga (EEV) dan kereta pertama keluaran Malaysia yang menampilkan auto start-stop.

Saga yang dikuasakan enjin 1.3L VVT, memberikan output maksimum 70kw/5,750rpm, tork maksimum 120nm/4,000rpm. Model ini yang dilengkapi bantuan pemanduan eko, mempunyai kadar penggunaan bahan api 5.6 (L/100km).

Kedua-dua model juga dilengkapi ciri keselamatan terkini termasuk dua beg udara, sistem brek ABS dengan EBD dan BA, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki serta cagak Isofix.

Ciri terkini lain yang ditawarkan oleh kedua-dua model ini ialah kamera undur yang mana Bezza dipasang pada skrin multimedia 16 inci manakala Saga diletak pada cermin undur.

Bezza juga didatangkan dengan sistem kemasukan pintar bersama kunci pintar serta butang penghidup enjin.

Saga mendapat pengiktirafan Asean NCAP 4-bintang manakala Bezza menerima pengiktirafan Asean NCAP 5-bintang.

Bezza Advance 1.3L (Automatik) dijual pada harga atas jalan RM50,800 manakala Saga 1.3L Premium CVT (Automatik) berharga RM45,800, dengan masing-masing menawarkan jaminan lima tahun.

Info

Saga 1.3L Premium CVT (Automatik)

* Jenis enjin - 1.3L 4 silinder DOCH 16 injap VVT

* Kapasiti enjin (cc) - 1,332

* Output maksimum - 70 kw pada 5,750 rpm

* Tork maksimum - 120 Nm pada 4,000 rpm

* Saiz tayar - 185/55 R15 rim aloi

* Harga - RM45,800

Bezza Advance 1.3L (Automatik)

* Jenis enjin - 1.3L 4 silinder 1NR-VE dengan Dwi VVT-i

* Kapasiti enjin (cc) - 1,329

* Output maksimum - 70 kw pada 6,000 rpm

* Tork maksimum - 121 Nm pada 4,000 rpm

* Saiz tayar - 175/65 R14 rim aloi

* Harga - RM50,800

4060 dibaca
Berita Harian X