Khamis, 9 March 2017 | 6:01pm
LINDA Hashim dan Beego.

Penerbit mungkin terlepas pandang - Linda Hashim


PELAKON, Linda Hashim.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Linda Hashim, 33, akur apabila namanya semakin dilupakan kalangan penerbit drama dan filem tempatan.

Linda berkata, dengan kemunculan ramai pelakon baharu, persaingan bertambah sengit sehinggakan pihak penerbit terlepas pandang kewujudan dirinya di arena seni.

"Penerbit tidak berani memanggil saya berlakon sebab mahal sangat agaknya," katanya berseloroh.

Akui Linda, beliau sememangnya sudah lama tidak mengasah bakat lakonan, dan kali akhir berbuat demikian adalah bersama-sama suami, Beego, bagi menjayakan sebuah iklan, kira-kira lima bulan lalu.

"Mungkin penerbit terlepas pandang diri saya memandangkan sekarang ini banyak lagi pilihan lain. Drama cinta pun mungkin sudah tidak sesuai lagi dengan saya.

"Apapun saya anggap semua ini sebagai ketentuan. Saya pun tidak kisah kerana sekarang dapat juga saya meluangkan masa bersama anak-anak," katanya kepada BH Online.

Menurut Linda, sejak dulu beliau sedar dirinya tidak akan selama-lama berada dalam perhatian produser dan pengarah berikutan kehadiran pelakon yang bertukar ganti.

Sementara itu, bintang Tanda Putera ini berkata, memandangkan dirinya banyak menghabiskan masa di rumah, beliau kini sibuk menguruskan perniagaan menjual jamu lelaki.

Kata ibu kepada dua cahaya mata itu, resipi jamu berkenaan dipelajari di Indonesia dan kemudian beliau menghasilkannya sendiri di rumah.

"Saya mengusahakan perniagaan jamu ini bersama kakak. Saya memberikan fokus kepada penghasilan produk untuk golongan Adam, Sihat Lelaki, manakala kakak pula untuk wanita, iaitu Jamu Beras Kenchur.

"Alhamdulillah, kami tidak sangka ia menerima maklum balas yang baik. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa saya buat jamu lelaki? Sebenarnya, ketika berniaga jamu wanita, ramai pula golongan lelaki yang bertanya. Jadi, apa salahnya saya menjual produk untuk kesihatan mereka," ujarnya.

74 dibaca
Berita Harian X