Isnin, 29 Disember 2014 | 7:43am

'Berjemaah' sebar maklumat tidak sahih

Seperti arus deras yang melanda di kebanyakan negeri di Semenanjung ketika banjir, begitu jugalah maklumat tidak rasmi dan belum sahih menerusi pelbagai aplikasi telefon dan media sosial lain disebarkan ke seluruh negara.

Ada pengguna media sosial dan telefon memuat naik atau berkongsi status mengenai bencana banjir tanpa berpandukan fakta daripada sumber yang sahih dan bersifat spekulasi semata-mata, sedangkan mereka tahu perbuatan berkongsi atau 'forward' sesuatu berita yang tidak dapat ditentukan kesahihannya itu boleh mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat.

Maklumat palsu yang disebarkan pada waktu kritikal seperti sekarang bukan sahaja akan menyulitkan kerja mencari dan menyelamat, malah boleh menyebabkan kekeliruan dalam operasi bantuan serta menambah rasa risau dan panik dalam kalangan anggota keluarga mangsa.

Ini belum lagi rayuan, keluhan, rintihan dan ayat melepas geram yang didakwa diluahkan oleh mangsa, ahli keluarga mangsa atau mereka yang terbabit atau terperangkap dalam bencana banjir ini yang belum diketahui sahih atau palsu.

Matlamat tak halalkan cara

Apapun, matlamat tidak menghalalkan cara. Oleh itu, niat untuk membantu dengan menyampaikan maklumat sememangnya baik, tetapi sebelum menyebarkan sebarang berita, tanyalah diri sendiri sama ada ia akan benar-benar membawa kebaikan atau menambah buruk lagi keadaan.

Misalnya, sejak kebelakangan ini, ada saja 'posting' sama ada dalam Facebook, WhatsApp atau Telegram mengenai pembukaan empangan bekalan air, sama ada di Thailand, Terengganu, Melaka dan Selangor sehingga menimbulkan kegemparan dalam kalangan penduduk yang tinggal berhampiran kawasan empangan air. Ini belum mengambil kira mesej yang dihantar kononnya ada empangan yang retak!

Di Kota Bharu, Polis Kelantan terpaksa menafikan pengisytiharan darurat ekoran banjir besar yang melanda negeri itu dan sekali lagi terpaksa menafikan khabar angin kononnya 10 orang dipercayai mati lemas akibat terperangkap di dalam rumah di Guchil, Kuala Krai. Malah, sampai ke tahap mencemaskan negara kononnya 40 pesakit di Hospital Kuala Krai mati akibat ketiadaan bantuan oksigen. Namun, mesej sebegini, terutama menerusi aplikasi WhatsApp diviralkan.

Jabatan Kerja Raya (JKR) pula terpaksa memberi penjelasan mengenai berita yang tersebar kononnya Jambatan Sultan Yahya Petra di Kota Bharu, Kelantan sudah tergelincir dari tiang asal. Hanya kerana ada pihak tidak memahami struktur binaan melihat bahagian 'crosshead' tiang sambut dibina lebih lebar daripada yang lain, ia terus didakwa 'beralih'.

Wajar kena tindakan tegas

Hakikatnya, penyebaran berita tidak bertanggungjawab sebeginilah yang mengelirukan semua pihak, sekali gus ramai yang turut 'berjemaah' menyebarkan berita palsu dan fitnah.

Berdasarkan senario yang ada, sewajarnya tindakan tegas diambil pihak berkuasa kepada mereka yang menyebarkan fitnah dan cerita rekaan kerana jika dibiarkan, perkara tidak benar jika diulang-ulang, lama kelamaan diterima sebagai betul. Ada peruntukan mengikut Akta Kanun Keseksaan yang boleh digunakan untuk menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab sebegini bagi mencegahnya sebelum parah.

Berita Harian X