Isnin, 29 Disember 2014 | 7:41am

Aceh terus bangkit daripada kemusnahan tsunami

Jika bukan kerana bencana tsunami yang mengorbankan lebih 200,000 nyawa, tidak termasuk orang hilang pada 26 Disember 2004, tidak mungkin penulis menjejakkan kaki ke bumi Aceh, yang terletak di bahagian utara pulau Sumatera, Indonesia.

Sepanjang tempoh 10 tahun memperingati tsunami, penulis singgah lagi di bumi Aceh buat kali keempat, tetapi kali ini cukup berbeza, kerana berpeluang menilai secara lebih mendalam hikmah di sebalik dugaan paling besar bagi republik ini.

Bak kata orang Aceh, 'Bala tasaba, nekmat tasyuko, disinan le ureueng bahgia' yang membawa maksud, bencana kita hadapi dengan kesabaran, nikmat kita syukuri, banyaklah orang akan bahagia.

Berdaya tahan hadapi dugaan

Secara mudahnya, kata-kata itu menyeru masyarakat mereka supaya sentiasa berdaya tahan menghadapi dugaan dan bersyukur dengan nikmat yang ada dengan satu tujuan iaitu kekalkan kemakmuran yang ada untuk dinikmati masyarakat.

Dalam tempoh 10 tahun itu, terlalu banyak hikmah yang disaksikan. Buat kali pertama Aceh menukar dasar membenarkan kerajaan pusat Indonesia campur tangan dan 55 negara asing masuk atas tiket misi bantuan kemanusiaan termasuklah melalui pergerakan 165 pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Aceh pulih dalam tempoh singkat, perubahannya cukup ketara terutama daripada aspek pembangunan kemudahan asas seperti hospital, sekolah dan perumahan.

Bak kata Walikota Aceh, Illiza Sa'adudin Djmal yang ditemui penulis, 'Aceh sudah bangkit'. Walaupun belum mencapai tahap maksimum tetapi ia berada di landasan tepat untuk memastikan kehidupan lebih empat juta rakyatnya terjamin.

Penulis bersetuju dengan kenyataan itu berdasarkan perubahan yang disaksikan dengan mata kasar. Namun, berdasarkan maklum balas masyarakat tempatan, NGO serta aktivis tempatan dan antarabangsa yang ditemui, Aceh memerlukan sekurang-kurangnya 20 tahun lagi untuk pulih sepenuhnya.

Hakikat itu ada logiknya kerana Aceh sebenarnya belum bersedia memadam luka lama yang masih bernanah iaitu kesan konflik dan perang selama lebih 30 tahun antara Gerakan Aceh Merdeka (GAM) dengan kerajaan Indonesia.

Usaha bebaskan Aceh

Semuanya berpunca daripada usaha GAM untuk membebaskan Aceh selaku negara merdeka dan berdaulat, bukannya berkiblatkan Jakarta.

Jika dibandingkan secara statistik, jumlah kematian tsunami merekodkan korban nyawa yang jauh lebih besar berbanding korban akibat konflik yang cuma mengorbankan lebih 15,000 orang.

Tsunami berlaku dalam sekelip mata jika dibandingkan dengan konflik yang berlarutan sejak tahun 1976 sehinggalah kedua-dua pihak 'bertenang' seketika selepas dikejutkan dengan bencana dan akhirnya mencapai perjanjian damai sepenuhnya pada tahun 2005.

Kesan trauma akibat konflik itu jauh lebih hebat berbanding trauma tsunami kerana rakyat Aceh percaya bencana alam itu sebagai ujian Allah SWT paling besar untuk menyedarkan masyarakat bahawa bumi ini tidak perlu lagi bermandi darah akibat perang.

Hakikat itu disokong aktivis perang di Thailand dan Aceh, Lylianne Fan yang menyifatkan trauma konflik itu sudah terlalu lama berakar umbi dalam pemikiran rakyat Aceh.

Lylianne, rakyat Malaysia yang dilahirkan di Britain mempunyai pengalaman 15 tahun mengkaji konflik di Aceh serta terbabit dalam kegiatan NGO, berkata kesan secara mental akibat konflik sebenarnya lebih parah berbanding kemusnahan harta benda dan nyawa akibat bencana alam.

Rasa curiga dan prasangka itu masih menebal walaupun kita boleh melihat slogan Damai Itu Indah di kebanyakan tempat di Banda Aceh.

Bagi penulis, sudah tiba masa rakyat Aceh bangkit sepenuhnya, bukan saja daripada trauma tsunami, tetapi juga trauma konflik untuk membentuk sikap saling menyokong dan mempercayai.

13 dibaca
Berita Harian X