Khamis, 9 March 2017 | 4:00pm

Tetak rakan enggan makan biawak


POLIS menunjukkan parang yang digunakan dalam kejadian lelaki ditetak di Suai, Miri, Sarawak, semalam.

MIRI: Seorang lelaki ditetak dengan parang berikutan keengganan menjamah daging biawak dimasak rakannya di Rumah Panjang Sabang, Sungai Sawai, Suai, semalam.

Mikol Jawa, 40, dari Rumah Ikat, Sungai Sembawang, Suai, cedera di leher dalam kejadian itu tetapi hanya mendapat rawatan sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Superintendan Khoo Leng Huat, berkata polis menahan suspek berusia 31 tahun itu dan merampas sebilah parang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa dikatakan enggan makan hidangan daging biawak dimasak suspek.

"Sikap mangsa itu membuatkan suspek berang dan berlaku perbalahan antara kedua-duanya.

"Secara tiba-tiba, suspek mencapai parang lalu menetak leher mangsa.

"Mangsa yang cedera mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Niah," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-duanya adalah rakan sekampung dan sebelum kejadian, hanya mangsa dan suspek berada di tempat kejadian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X