Khamis, 9 March 2017 | 12:09pm

Harga siling akan bunuh pengusaha stesen minyak


Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan untuk memperkenalkan harga siling sebagai mekanisme baharu penetapan harga bahan api dikhuatiri bakal 'membunuh' lebih 1,000 pengusaha kecil stesen minyak.

 

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz, berkata mekanisme yang memperkenalkan harga siling bahan api itu dijangka memberi kesan negatif kepada pengusaha stesen minyak dalam jangka masa panjang.

 

Katanya, sistem itu akan mewujudkan perang harga yang tidak sihat kerana pengusaha terpaksa meletakkan harga mengikut strategi persaingan pembekal minyak.

 

"Ini akan merugikan pengusaha kerana harga mungkin diturunkan ketika stok tinggi atau dinaikkan ketika stok rendah. Kuantiti dan penghantaran stok adalah kuasa pembekal bahan api.

 

"Jika ini berlaku, kira-kira 1,000 pengusaha kategori jualan rendah tidak mampu menanggung kerugian turun naik harga ini menyebabkan mereka mungkin gulung tikar, selain nasib hampir 8,000 pekerja tempatan di stesen juga terancam.

 

"Pengumuman Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) berhubung sistem baharu itu juga tidak jelas memandangkan mekanisme penetapan harga belum dibincangkan sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau mengulas pengumuman oleh Menteri Dalam Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berhubung pengenalan harga siling bahan api yang akan diumumkan setiap minggu bermula April.

 

Walaupun Hamzah memberi jaminan pengusaha stesen minyak tidak akan terjejas ketika PDAM bertemu dengannya Selasa lalu, Khairul Annuar berkata, pihaknya tetap beranggapan langkah terbaik adalah untuk tidak melaksanakan sistem harga siling.

 

"Di negara jiran, apabila mereka bertukar ke sistem apungan harga, ramai pengusaha yang gulung tikar," katanya.

78 dibaca
Berita Harian X