Isnin, 29 Disember 2014 | 12:00am
AKSI penjaring gol Chelsea, Eden Hazard mengawal bola daripada pemain Southampton, Jose Fonte pada perlawanan Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi. - Foto Reuters

Chelsea diikat Southampton 1-1 di St Marys

SOUTHAMPTON: Jaringan pemain tengah, Eden Hazard pada penghujung babak pertama perlawanan membantu Chelsea mencatat keputusan seri 1-1 menentang Southampton, sebentar tadi.

Beraksi di laman sendiri, St Marys, Southampton mencipta kejutan apabila terlebih dulu merobek gawang Chelsea pada minit ke-17 permainan menerusi jaringan Sadio Mane.

Dibantu Dusan Tadic yang melorongkan bola kepadanya, Mane dengan pantas melepaskan rembatan padu rendah menerusi kaki kanannya dari kawasan kiri gawang.

Chelsea yang tersentak dengan jaringan itu pantas mencipta beberapa peluang namun hanya berhasil memecah gawang Southampton pada masa kecederaan babak pertama.

Menerusi gerakan yang dimulakan pemain tengah, Cesc Fabregas dari kiri padang, Hazard mempamerkan kelasnya dengan memperdaya beberapa pertahanan Southampton sebelum melepaskan rembatan padu menewaskan Fraser Forster.

Begitupun, tiada jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua pasukan pada babak kedua untuk sekadar berpuas hati berkongsi satu mata.

Keputusan begitupun tidak menggugat kedudukan Chelsea selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris.

Kedua-dua pasukan mencatat kemenangan pada perlawanan Jumaat lepas, dengan Chelsea menewaskan West Ham 2-0 manakala Southampton menundukkan Crystal Palace, 3-1. - Agensi

Berita Harian X