Rabu, 8 March 2017 | 10:42pm

Iskandar Waterfront Holdings bergabung dengan Iskandar Waterfront City

KUALA LUMPUR: Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd (IWH) mencadangkan tawaran gabungan satu untuk satu bagi membeli baki 61.7 peratus ekuiti dalam Iskandar Waterfront City Bhd (IWC).

Dalam satu kenyataan, IWH berkata, ia akan mengambil alih status penyenaraian IWC di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

Ini akan menyaksikan penubuhan satu daripada pemaju hartanah induk strategik terbesar yang disenarai di Bursa Malaysia.

Ia tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa serta pemegang saham selepas penyelesaian gabungan yang dicadangkan itu.

Harga tawaran untuk gabungan yang dicadangkan itu ialah RM1.50 bagi setiap saham IWC.

Ia adalah premium 14 peratus harga purata wajaran 30 hari saham IWC sehingga dan termasuk 3 Mac 2017.

Harga tawaran itu akan dijelaskan melalui penerbitan saham IWH pada asas satu saham IWH baharu bagi setiap saham IWC sedia ada yang akan dilaksana melalui satu skim pengaturan.

Lembaga IWC ditawarkan 30 hari pasaran, iaitu pada 19 April 2017, untuk menimbangkan tawaran cadangan gabungan itu.

Seiring cadangan gabungan itu, IWH akan memulakan cadangan langkah penyusunan semula dengan Pengarah merangkap Naib Pengerusi Eksekutif IWH, Tan Sri Lim Kang Hoo.

Ia dilakukan menerusi rasionalisasi dalaman pegangan minoriti dalam Kumpulan IWH dan pelbagai entiti negeri Johor, termasuk Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd, cabang pelaburan kerajaan Johor bagi mengukuhkan bank tanah di bawah IWH.

Ini akan menyaksikan suntikan 1,454 hektar dengan nilai pasaran terbuka (OMV) RM4.1 bilion ke dalam IWH.

Semua aset yang disuntik adalah pada diskaun dua peratus berbanding OMV, sebagaimana dinilai oleh penilai bebas yang dilantik, CBRE|WTW, Cheston International (Johor) Sdn Bhd dan Raine & Horne International Zaki + Partners Sdn Bhd.

Semua suntikan aset akan dijelaskan melalui penerbitan saham baharu IWH pada harga terbitan RM1.50 sesaham saham keutamaan boleh ditukar boleh ditebus (RCPS) IWH. - BERNAMA

Berita Harian X