Rabu, 8 March 2017 | 7:40am

Wenger salahkan pengadil


PEMAIN Arsenal, Laurent Koscielny (kanan) mengasak penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski di dalam kotak penalti pada perlawanan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi. - Foto AP

LONDON: Arsene Wenger menyalahkan keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada Laurent Koscielny sebagai punca kekalahan 1-5 di tangan Bayern Munich awal pagi tadi.

Kekalahan itu menamatkan kempen Arsenal dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini dengan agregat 2-10 kepada gergasi Jerman itu.

Ketinggalan 1-5 daripada perlawanan pertama, Arsenal merapatkan jurang menerusi Theo Walcott pada babak pertama aksi timbal balik sebelum Koscielny dibuang padang pada minit ke-54 kerana mengasari Robert Lewandowski.

Lewandowski menyempurnakan sepakan penalti dan Bayern memanfaatkan kelebihan pemain untuk menunjuk jalan keluar kepada Arsenal yang sekali lagi kempunan melangkah ke suku akhir.

"Kami mempersembahkan corak permainan yang kami mahukan dan nasib kami amat malang sekali," kata Wenger.

"Beberapa keputusan pengadil cukup sukar difahami. Lewandowski berada di kedudukan ofsaid, tidak ada penalti.

"Malah dilayangkan pula kad merah. Sudah tentu ia membunuh kami. Selepas itu memang sukar untuk kami meneruskan permainan.

"Sukar untuk memahami apa yang terjadi. Pasukan saya sudah memberikan usaha terbaik mereka dan bermain dengan baik."

Pengadil dari Greece Tasos Sidiropoulos pada awalnya memilih untuk melayangkan kad kuning kepada Koscielny, sebelum menunjukkan kad merah kepada bek tengah Perancis itu sebaik berbincang dengan pembantunya.

"Ia tidak serius. Apabila anda melihat kepentingan perlawanan ini dan anda menyaksikan sikap sebegitu.

"Saya kecewa dan simpati dengan mereka yang membayar harga yang tinggi untuk menonton perlawanan ini," kata Wenger. - AFP

Berita Harian X