Rabu, 8 March 2017 | 6:47am

Noriega, bekas diktator Panama kini kritikal


GAMBAR fail, bekas diktator Panama, Manuel Noriega, 77 bergambar di Panama City pada 14 Disember 2011. - Foto Reuters

PANAMA CITY: Bekas diktator Panama, Manuel Noriega dilaporkan berada dalam keadaan kritikal, selepas mengalami pendarahan ketika menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan pada bahagian otaknya, semalam.

Anak perempuannya, Thays dan Sandra Noriega, berkata bapa mereka yang berusia 83 tahun dibawa ke bilik pembedahan di Hospital Awam Santo Tomas di Panama City selepas doktor mengesan pendarahan selepas pembedahan itu.

Mereka berkata, beliau kini ditempatkan di unit rawatan rapi.

"Keadaannya membimbangkan dan kami masih menunggu pembedahan kedua tamat," kata Thays kepada The Associated Press menerusi telefon.

Bagaimanapun, pihak hospital gagal dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen.

Ketumbuhan itu dikesan beberapa bulan selepas Noriega pulang ke Panama pada Disember 2011. Beliau dipenjarakan atas kesalahan rasuah dan membunuh penentangnya pada 1980-an.

Menurut doktor, ketumbuhan itu merebak baru-baru ini dan dilaporkan mengancam nyawa Noriega, yang turut menderita penyakit saraf hingga memaksanya bergerak menggunakan kerusi roda.

Pada 29 Januari lalu, Noriega dipindahkan ke tahanan rumah sebagai persediaan untuk menjalani pembedahan yang dijadualkan pada pertengahan Februari.

Beliau yang juga bekas jeneral tentera, memerintah Panama secara kuku besi antara 1983 hingga 1989. Beliau digulingkan oleh Amerika Syarikat pada 1989 dan dipenjarakan di negara itu atas kesalahan dadah.

Noriega kemudiannya menjalani hukuman penjara di Perancis atas kesalahan penggubahan wang, sebelum kembali ke Panama pada 2011.

AP

72 dibaca
Berita Harian X