Rabu, 8 March 2017 | 12:00am
MOTOSIKAL mendominasi jalan raya bandar raya

Usaha dakwah di Vietnam


SEKITAR bandar raya Ho Chi Minh.

KALI pertama menjejak kaki di Vietnam, saya dan isteri, Khairani Mohamad serta anak teruja dengan apa yang dilihat di sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Saigon ke Hotel Thanh Truong, Daerah 1, Ho Chi Minh City (HCM) yang tidak seperti pernah kami gambarkan sebelum ini.

Bandar raya HCM yang padat penduduknya menandakan pembangunan besar akan berlaku di sini. Bandar dulunya dikenali sebagai Saigon kini pesat membangun terutamanya di Daerah 1 HCM. Banyaknya motosikal yang mendominasi jalan raya menjadikan suasana unik dan berbeza berbanding Kuala Lumpur.

Penduduk Vietnam sudah melebihi 80 juta, namun tidak sampai satu peratus penduduknya beragama Islam dan ini menjadikan Vietnam sebagai destinasi dakwah menarik untuk diteroka. Kebanyakan penduduk Islam yang kami temui di sana bekerja sebagai peniaga jalanan berasal dari negara berdekatan seperti Kemboja.

Peluang perniagaan di bandar HCM menarik minat kehadiran orang Islam dari negara jiran, khususnya di Daerah 1 HCM yang mempunyai sebuah masjid dibina seawal tahun 1885.

Pembinaan asal masjid itu dibuat oleh orang Islam Indonesia dan mungkin juga Malaysia yang pernah berhijrah ke sana bagi tujuan perniagaan serta generasi kemudiannya yang tidak dapat pulang ke negara asal kerana dikerah tentera Jepun bagi pembinaan kereta api maut di Burma.

Di sekitar masjid terdapat rumah teres dua tingkat diduduki orang Islam yang sudah menjadi warga Vietnam dan menjadikan bahasa Vietnam sebagai bahasa ibunda. Namun, gaya dan raut wajah mereka mirip orang Melayu dari Malaysia atau Indonesia.

Masjid Malaysia-Indonesia

Kesan budaya Vietnam juga menular dalam kalangan orang Islam di sana seperti bertatu di badan, yang pastinya budaya itu tidak diterima oleh orang Islam.

Sejak Vietnam membuka pintunya kepada negara luar, perubahan kefahaman Islam mengenai amalan ajaran agama semakin meningkat. Masjid ar-Rahim yang terletak di Daerah 1 HCM dibina semula dengan sokongan pelancong Islam di sana terutama dari Malaysia dan Indonesia.

Itulah sebabnya masjid itu juga dikenali sebagai Masjid Indonesia-Malaysia. Segala puji bagi Allah SWT, ramai jemaah dakwah tabligh telah sampai di masjid itu bagi berdakwah kepada orang Islam tempatan sejak 20 tahun lalu.

Kehadiran jemaah dakwah tabligh sedikit sebanyak membantu orang Islam Vietnam menghayati amalan serta ajaran agama dibawa oleh Nabi Muhammad SAW seperti solat dan ibadah lain.

Aktiviti utama kami sebaik tiba di HCM yang dibiayai Octagon Petroleum Technology Sdn Bhd ialah mencari maklumat mengenai orang Islam dan masjid berdekatan. Kami menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid ar-Rahim yang terletak 10 minit berjalan kaki dari hotel.

Segala puji bagi Allah SWT, masjid berkenaan diimarahkan melalui solat berjemaah lima waktu. Sepanjang berada di masjid, kami bertaaruf dan mengenali ahli jemaah masjid, menerangkan matlamat kehadiran serta menjelaskan perancangan kami kepada jawatankuasa masjid.

Dakwah dari rumah ke rumah

Dakwah bermula apabila kami bergerak dari rumah ke rumah di sekitar masjid bagi mendekati penduduk tempatan di sekitarnya. Kami menemui jiran tetangga masjid yang dan belum Islam.

Kepada orang Islam, kami bermuzakarah mengenai kepentingan berdakwah kepada bukan Islam warga Vietnam. Kepentingan dakwah kepada orang yang belum Islam di negara bukan Islam agak lebih menyerlah dalam kalangan minoriti penduduk Islam dan aktiviti itu sebenarnya mampu menambahkan lagi kekuatan orang Islam.

Usaha dakwah yang dijalankan oleh orang Islam diterima baik masyarakat bukan Islam Vietnam, cuma orang Islam di sana yang kami temui kurang yakin untuk menyebarkan kalimah syahadah kepada yang belum Islam. Kehadiran kami sedikit sebanyak membantu menguatkan usaha dakwah mereka.

Kehidupan orang Vietnam yang miskin dan tidak bertuhan begitu menyedihkan serta menimbulkan rasa simpati. Cabaran utama ketika hendak memulakan usaha dakwah di Daerah 1 HCM ialah masalah bahasa kerana tidak ramai yang boleh berbahasa Inggeris.

Namun, mereka yang bertugas di sekitar kawasan pelancongan di sini cuba belajar bahasa Inggeris melalui perbualan dengan pelancong asing. Ramai pelancong Islam Malaysia, Singapura, Indonesia suka kawasan itu kerana banyak restoran halal dikendalikan oleh orang Islam tempatan.

Peluang bertemu bukan Islam di sekitar kawasan hotel penginapan digunakan sebaiknya untuk menerangkan mengenai kalimah syahadah serta agama yang dibawa Nabi Muhammad SAW yang menjadi rahmat kepada sekalian alam.

Kagum ajaran Islam

Dalam masa singkat, ramai juga orang Vietnam yang dapat kami temui. Kebanyakannya sudah pernah bergaul dengan orang Islam kerana ia adalah kawasan pelancongan utama. Segala puji bagi Allah SWT, seramai enam orang Vietnam menerima syahadah dan mengucapkannya dengan baik.

Yang bagusnya di kawasan itu ada masjid dan ini memberi peluang mereka mempelajari lebih mendalam mengenai Islam apabila ke Masjid ar-Rahim. Berapa ramai yang masuk Islam bukanlah penanda aras kepada kejayaan dakwah kami di sana, tetapi ia bukti penerimaan orang tempatan terhadap agama Allah SWT.

Kita hanyalah melaksanakan perintah Allah SWT supaya menyebarkan kalimah syahadah dengan kesabaran dan berserah kepadaNya kerana hanya Allah SWT yang boleh memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Ramai penduduk Vietnam yang kami temui di kawasan pelancongan kagum dengan amalan orang Islam yang tidak minum arak. Mereka sedar bagaimana arak telah menghancurkan masyarakat dan hakikat itu memudahkan lagi usaha dakwah kepada yang belum Islam di sana.

Berdakwah kepada golongan belum Islam di Vietnam umpama mencari manusia yang hati mereka ingin mencari kewujudan tuhan dan ketenangan hidup. Bagi mereka yang telah melafazkan kalimah syahadah, ia umpama satu anugerah daripada Allah Yang Maha Esa.

* Penulis ialah Pengarah Urusan Octagon Petroleum Technology Sdn Bhd.

INFO: Kota Ho Chi Minh

- Kota terbesar di Vietnam dan terletak berdekatan delta Sungai Mekong.

- Dahulu namanya Prey Nokor iaitu pelabuhan utama Kamboja, tetapi ditukar nama Saigon selepas penaklukan Vietnam.

- Pada tahun 1975, Saigon digabungkan dengan provinsi Gia Dinh di sekitarnya dan diubah nama menjadi Kota Ho Chi Minh.

Islam di Vietnam

- Ahli sejarah sepakat Islam telah sampai ke Vietnam pada adab ke-10 dan 11 Masihi melalui jemaah dari India, Persia dan pedagang Arab yang menyebar kepada masyarakat Cham yang tinggal di daerah tengah Vietnam ketika itu.

- Antara bandar terdapat masyarakat Islam di Binh Thuan, Ninh Thuan, An Giang, Tay Ninh, Dong Nai, Kota Ho Chi Minh dan ibu kota Hanoi.

Berita Harian X