Selasa, 7 March 2017 | 6:58pm

40 usahawan Sabah terima dana pembangunan RM3.56 juta


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman (dua dari kanan) menyerahkan replika cek Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera kepada Shaari Ian Rasmadin selepas mesyuarat Bil 1/2017 Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB), di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu. Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (tiga dari kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Datuk Husni Salleh (kanan). Nstp/Izhari Ariffin.

KOTA KINABALU: Seramai 40 usahawan Bumiputera menerima manfaat Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera Sabah (DPUBS) bernilai RM3.56 juta sejak program itu diperkenalkan pada tahun 2015.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, berkata dana itu disediakan kerajaan Pusat dan negeri menerusi Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) bagi membantu usahawan mikro.

Beliau berkata, penyediaan dana itu sejajar dengan usaha ke arah memperkasa penyertaan dan pembabitan masyarakat Bumiputera di Sabah dalam bidang keusahawanan.

"Saya berharap menerusi kerjasama ini, usahawan Bumiputera di seluruh negara dapat terus bergerak maju dan berdaya saing. Kolaborasi strategik ini tentunya akan menaik taraf komuniti usahawan Bumiputera dalam memajukan ekonomi negara secara menyeluruh melalui keusahawanan," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) Sabah di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Tan Sri Sukarti Wakiman; Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Sabah, Datuk Osman Jamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Datuk Husni Salleh.

Sementara itu, Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah, berkata menerusi Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) di bawah TERAJU, tujuh usahawan Sabah terpilih menerima dana bernilai RM3.5 juta pada tahun lalu.

"Saya amat berbangga kerana hasil daripada program SUPERB ini, ada di antara idea perniagaan peserta berjaya direalisasi dan ada juga mendapat perhatian beberapa tokoh perniagaan sebagai potensi pelaburan atau kerjasama komersial," katanya.

Pada majlis itu, dua penerima dana SUPERB bernilai RM500,000 setiap seorang adalah pengusaha

garam rumpai laut, Rashid Thomas dan pengusaha kraftangan, Mary Jim.

Musa berkata, 45 syarikat Bumiputera negeri itu turut tersenarai sebagai syarikat TERAS daripada sejumlah 1,014 syarikat di bawah program TERAS di seluruh negara.

Katanya, 10 daripada 45 syarikat terbabit mendapat kelulusan bantuan Dana TERAS berjumlah RM9.91 juta.

Sebelum ini, TERAJU mengumumkan 55 projek dalam pelbagai sektor dianugerahkan Dana Mudah Cara bernilai RM139.18 juta, membabitkan pelaburan RM1.17 bilion dan mewujudkan 3,500 peluang pekerjaan kepada 52 syarikat Bumiputera di Sabah sejak tahun 2011.

Berita Harian X