Selasa, 7 March 2017 | 3:47pm
PERTUNJUKAN fesyen Norish Kareem Couture (NKC) sempena Minggu Fesyen New York (NYFW) di New York. - Foto shafiqshahar
MADELINE stuart bersama pereka fesyen NKC. - Foto shafiq Shahar

Norish Kareem Couture lakar sejarah di NYFW

PERTUNJUKAN fesyen Norish Kareem Couture (NKC) sempena Minggu Fesyen New York (NYFW) di New York.

KUALA LUMPUR: Selepas pereka fesyen Zang Toi, Sazzy Falak dan Norjuma Habib Mohamed, giliran label fesyen jenama Norish Kareem Couture (NKC) mempamerkan koleksi rekaan sempena Minggu Fesyen New York (NYFW) pada 9 hingga 17 Februari lalu.

Acara yang dianjurkan di beberapa lokasi di sekitar New York itu memang antara yang ditunggu-tunggu ramai.

Hampir setahun menceburi bidang fesyen, jenama NKC mengukuhkan portfolio selepas menerima undangan untuk menyertai acara fesyen terkenal itu.

Lebih menarik, NKC mengekalkan model istimewa dari Australia yang menghidap Sindrom Down, Madeline Stuart, sebagai wajah ilham atau muse koleksi terbarunya.

Model berusia 20 tahun itu terlebih dahulu menjadi wajah ilham jenama fesyen berkenaan pada November tahun lalu ketika pertunjukan Runway Dubai di Emiriah Arab Bersatu.

Malah, Stuart juga akan ditampilkan buat kali ketiga sebagai wajah ilham NKC untuk pertunjukan Minggu Fesyen Paris baru-baru ini.

Menurut pereka tempatan NKC, Norish Karim, impak model istimewa itu cukup besar kepada jenama fesyennya dan pertunjukan fesyen di Dubai memutik perkenalan mereka.

"Saya bertuah kerana dia sendiri memilih untuk menyarung persalinan NKC. Pertunjukan di Dubai dan kemudian di New York itu meninggalkan memori indah buat saya dan NKC.

"Impak Madeline memakai persalinan sangat hebat. Keistimewaannya membuka mata ramai terhadap NKC. Malah selepas dia memuat naik gambar di Facebook dan Instagram miliknya, saya dihujani pelbagai mesej mengucapkan tahniah dan ingin tahu daripada ramai pihak.

"NKC sendiri menerima mesej daripada ibu bapa yang mempunyai anak dengan Sindrom Down dari seluruh pelosok negara dan New York yang mahu membeli koleksi seperti dipakai Madeline.

"Ada yang sanggup terbang ke Dubai untuk membelinya, namun ketika ini koleksi NKC boleh dibeli secara dalam talian di www.norishkareem.com atau di Instagram, @norishkareemfashioncouture.

"Pengikut kami di Instagram turut meningkat naik susulan promosi dan impak pembabitan Madeline. Kami mendapat liputan meluas daripada penerbitan terkenal dan agensi berita antarabangsa seperti Marie Claire, Reuters dan Daily Mail UK ," kata Norish.

Norish, 39, yang berasal dari Kuantan, Pahang dan dibesarkan di Kuala Lumpur, tidak melihat timbul isu menggunakan Stuart. Baginya, semua yang terbentang cantik itu mewujudkan situasi saling memanfaatkan.

"Untuk Minggu Fesyen New York, kami siapkan sepasang gaun pendek seperti puteri dengan tema Golden Madeline. Gaun pendek itu disiapkan dalam tempoh dua bulan. Saya rapat dengan ibunya, Rossane Stuart dan agensi modelingnya selepas berakhir pertunjukan fesyen di Dubai. Malah kami juga mempunyai kumpulan WhatsApp sendiri.

PERTUNJUKAN fesyen Norish Kareem Couture (NKC) sempena Minggu Fesyen New York (NYFW) di New York. - Foto shafiq Shahar

"Di New York, selain mengekalkan kaftan dan gaun labuh penuh sulaman yang diperkenalkan sebelum ini, kami wujudkan gaun yang sedikit seksi untuk gaya dan budaya orang di sini.

"Dalam hal ini saya harus terbuka dan melihat kepada kehendak pasaran semasa," katanya yang akan terbabit dengan pertunjukan London Modest Fashion sekitar bulan depan.

Pada pertunjukan fesyen di New York tanggal 11 Februari lalu di Oxford Fashion Studio , NKC turut menampilkan kerjasama dengan Projek Malaya bagi koleksi denim lelaki dan memperkenalkan koleksi clutch dan wrist bag di bawah Red Label.

"Ini kali pertama NKC bekerjasama dengan badan bukan kerajaan, Cheshire Home di Selangor untuk koleksi Red Label. Beg clutch dan wrist itu dihasilkan oleh orang kurang upaya. Ia sangat istimewa. Beg berkenaan juga turut dijadikan cendera hati kepada tetamu di pertunjukan fesyen New York.

"Pada 30 Mac ini, kami akan ke New York sekali lagi untuk majlis sebuah pertubuhan Sindrom Down di sana. Ada baju rekaan NKC yang akan dilelong pada acara itu," katanya yang dijangka memenuhi sebuah acara di Qatar dan Milan juga pada tahun ini.

Sementara itu, Shafiq Shahar yang turut bertindak sebagai jurugambar rasmi NKC di Minggu Fesyen New York, turut berbesar hati atas peluang yang diberi, sekali gus mengukuhkan portfolionya.

"Saya pernah terbabit dengan Minggu Fesyen Kuala Lumpur. Tak sangka pula datang peluang untuk Minggu Fesyen New York.

"Kebetulan saya berada di San Francisco, California atas urusan kerja dan kawan saya mempelawa untuk terbabit dengan Minggu Fesyen New York. Macam mimpi rasanya kerana ia pengalaman baharu di tempat orang," katanya.

Shafiq asalnya pernah bermain papan selaju mewakili Kedah dan dikenali dengan nama Apit Minyak pada tahun 1997 sebelum bertukar profesion sebagai jurugambar.

Minatnya dalam sukan berkenaan terhenti selepas mengalami kecederaan pada 2009.

"Saya mula memegang kamera pada 2004 selepas dihadiahkan oleh seorang kawan. Sebelum menjadi jurugambar sepenuh masa, saya ada menyambung pengajian dalam diploma kejuruteraan di sebuah universiti.

"Selepas itu saya bekerja di sebuah syarikat semikonduktor berkaitan analisis teknikal," katanya.

Berita Harian X