Selasa, 7 March 2017 | 3:07pm

Livina X-Gear lepasi jangkauan


TALAAN IMPUL lebih ranggi, praktikal bawa banyak muatan. - Foto Saddam Yusoff

PENGENALAN model crossover lima tempat duduk Nissan Livina X-Gear menawarkan ruang kabin luas, premium dengan pelbagai susunan konfigurasi tempat duduk sebagai memenuhi kehendak pelanggan.

Kesempatan penulis memandu uji model itu baru-baru ini, memberi pengalaman baru kerana ia bukan saja mudah dikendalikan di lebuh raya, malah sangat praktikal untuk membawa banyak muatan, khususnya bagasi besar.

Tidak hairan, ramai memilih kenderaan sebagai kenderaan hujung minggu untuk berbasikal bersama keluarga atau rakan kerana dengan merebahkan posisi ruang tempat duduk belakangnya, ruang kargo digandakan daripada 383 liter menjadi 769 liter, sekali gus mampu memuatkan dua basikal lasak.

Mula diperkenalkan tahun lalu menerusi jenama Nissan Livina X-Gear, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) menampilkan model yang dipertingkatkan dengan pelbagai ciri baru, termasuk nama baru iaitu Nissan X-Gear pada gaya lebih sporty dan versatil.

Model itu dijanakan enjin aluminium HRDE16 1.6 liter empat silinder menghasilkan kuasa 105 PS dan tork 150 Nm.

Ia turut dipadankan dengan transmisi empat kelajuan dikawal secara elektronik. Malah, dengan teknologi kawalan injap pemasaan, enjin itu menawarkan prestasi responsif dan penjimatan bahan api luar biasa.


DIJANAKAN enjin aluminium HRDE16 1.6 liter empat silinder menghasilkan kuasa 105 PS dan tork 150 Nm. - Foto Saddam Yusoff

Pada pandangan mata kasar, rekaan luaran model ini diberi suntikan lebih segar dengan menampilkan jeriji depan krom berbentuk V dan panel horizontal yang digelapkan, manakala panel sisi pada badan kenderaan dan pengadang pula menonjolkan sifatnya yang lasak.

Bampar depan dengan pengadang lumpur berwarna hitam, palang bumbung, rim aloi berjejari V, fender baru, hud enjin dan cermin sisi diperkemaskan, manakala lampu utama gaya baru yang lebih lebar menambah lagi gaya anggunnya.

Sebagaimana imej baru pada Nissan Grand Livina yang dilancarkan sebelum ini, X-Gear menyaksikan perubahan pada reka bentuk lampu belakangnya yang mendatar.

Begitu juga rekaan bampar belakang dengan lampu reflektor dan lampu brek LED diletakkan sedikit tinggi untuk meningkatkan lagi tahap keselamatannya.

Ruang kabinnya disempurnakan dengan dibaluti material fabrik pada tempat duduknya, malah dipadankan stereng tiga jejari yang mempunyai butang kawalan bagi sistem audio 2-DIN yang boleh disambung dengan AUX.

Palang di atas bumbung juga boleh menampung berat sehingga 25 kilogram bagi membawa basikal atau kotak barang untuk mengisi aktiviti riadah hujung minggu.


REKAAN bampar belakang dengan lampu reflektor dan lampu brek LED diletakkan sedikit tinggi. - Foto Saddam Yusoff

Ciri keselamatannya masih di tahap terbaik selepas ditawarkan dengan dua beg udara SRS di bahagian depan, Sistem Brek Anti Kunci (ABS), Agihan Tekanan Brek Elektronik (EBD) dan Sistem Bantuan Brek (BA) yang didatangkan sebagai ciri standard.

Nissan X-Gear didatangkan dengan tiga pilihan warna baru iaitu merah, hitam dan emas, selain warna sedia ada seperti putih serta perak. Ia dijual pada harga RM93,914.23 di atas jalan termasuk insurans dengan jaminan tujuh tahun dengan perbatuan tanpa had.

Ia juga didatangkan dengan aksesori pilihan iaitu pelindung pintu, lampu isyarat LED pada cermin sisi, kombinasi tempat duduk kulit dengan panel pintu dan skrin multimedia navigasi bersaiz 6.5 inci.

Malah, ia hadir dengan pilihan Pakej Lengkap IMPUL iaitu spoiler bumbung belakang, rim aloi bersaiz 17 inci Impul Aura SX-20, sistem suspensi sports Impul dan tayar Goodyear Eagle F1 Directional 5.


KOMBINASI tempat duduk kulit dengan panel pintu dan skrin multimedia navigasi bersaiz 6.5 inci. - Foto Saddam Yusoff

SPESIFIKASI

Enjin: 1.6L 4-Silinder Sebaris, 16-Injap Dengan Teknologi Drive-By-Wire

Kuasa Maksimum: 105 Ps @ 5,200 Rpm

Kilasan Maksimum: 150 Nm @ 4,400 Rpm

Transmisi: Kawalan Elektronik Dengan 4-Kelajuan

Kapasiti Tangki Bahan Api: 52 Liter

Harga: RM93,914.23 atas jalan termasuk insurans dan GST

24 dibaca
Berita Harian X