Selasa, 7 March 2017 | 1:22pm

Geran padanan RM50 juta tingkat kualiti produk sawit


SIEW Keong ketika menyampaikan ucaptama di Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik 2017 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan geran pemadanan RM50 juta bagi membantu industri minyak sawit menangani keselamatan makanan.

Ia termasuk mengurangkan paras pencemaran dalam minyak sawit.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komodoti, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata geran pemadanan itu disediakan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi meningkatkan kualiti dan keselamatan penggunaan produk minyak sawit tempatan.

Sebagai pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit, katanya, Malaysia akan terus mengambil langkah bagi menangani keselamatan makanan minyak sawit.

"Kami menjemput sektor swasta untuk mengadakan usaha sama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk membangunkan teknologi yang dapat meningkatkan kualiti keselamatan minyak sawit tempatan.

"Geran ini boleh dipohon mulai sekarang. Ia terbuka kepada syarikat Malaysia," katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di Pameran dan Persidangan Tinjauan Harga Minyak Sawit dan Laurik 2017 di sini, hari ini.

Mengenai eksport produk minyak sawit tahun ini, Siew Keong berkata, kerajaan menyasarkan eksport produk minyak sawit meningkat kepada RM70 bilion tahun ini, berbanding RM67 bilion tahun lalu.

Beliau berkata, kementeriannya akan terus mempertingkatkan usaha bagi meninjau pasaran eksport baharu untuk produk minyak sawit tempatan.

Berita Harian X