Selasa, 7 March 2017 | 11:09am

Aplikasi mudah alih 'Transit For Johor' dilancar


BAS Muafakat Johor (BMJ). - Foto Omar Ahmad

JOHOR BAHRU: Perbadanan Pengangkutan Awam Johor Sdn Bhd (PAJ) melancarkan aplikasi mudah alih 'Transit For Johor' bagi membolehkan pengguna Bas Muafakat Johor (BMJ) mendapatkan pelbagai maklumat terkini mengenai perkhidmatan itu.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, sempena lawatan kerja ke Parlimen Tebrau di Kompleks Mutiara Johor Land di sini, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Abdul Rahman Salleh, berkata menerusi aplikasi itu, kira-kira 14.3 juta pengguna BMJ dapat merancang perjalanan dengan menyemak waktu anggaran ketibaan bas berkenaan.

Selain itu, katanya, pengguna dapat melihat kedudukan lokasi dan pergerakan BMJ menerusi teknologi Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS).

"Menerusi aplikasi itu juga pengguna BMJ dapat mengetahui mengenai aliran trafik semasa dan perkhidmatan berkaitan bas berkenaan.

"Pengguna juga boleh mengemukakan maklum balas atau aduan dengan lebih mudah mengenai BMJ dalam aplikasi itu," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran itu, di sini.

Abdul Rahman berkata, BMJ yang dilancarkan pada April tahun lalu akan turut diperluaskan ke seluruh daerah dalam tempoh terdekat.

Ketika ini, katanya, ia membabitkan 15 laluan di empat daerah iaitu Kulai, Johor Bahru Tengah, Johor Bahru dan Pasir Gudang dengan 30 BMJ.

"Perkhidmatan bas ini akan diperluaskan ke seluruh daerah di Johor membabitkan 46 laluan secara keseluruhan dengan kekuatan 80 BMJ.

"BMJ adalah antara inisiatif yang disediakan kerajaan negeri bagi membantu rakyat Johor khususnya mengurangkan kos sara hidup yang kian meningkat," katanya.

Berita Harian X