Isnin, 6 March 2017 | 6:04pm

3 RPT Perwira dilaksanakan tahun ini


PENGERUSI Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. - Foto NSTP

IPOH: Projek perumahan khas untuk bekas anggota tentera dan polis yang tertangguh sejak kira-kira empat tahun lalu, akan mula dilaksanakan tahun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata, projek diberi nama Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Perwira itu mula dilaksanakan menerusi pembinaan 1,860 unit rumah di tiga daerah. 

"Projek pertama iaitu 304 unit rumah di kawasan seluas 12 hektar di Segari, Manjung akan bermula bulan depan, manakala 606 unit di kawasan seluas 20 hektar di Tapah Road dan 950 unit di kawasan seluas 44 hektar di Seri Iskandar dilaksanakan sebelum akhir tahun ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini sebentar tadi. 

Zainol Fadzi berkata, semua rumah teres berkenaan yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air akan dijual pada harga di bawah RM145,000 iaitu RM50,000 lebih murah daripada harga pasaran di kawasan terbabit. 

Beliau berkata, permohonan juga kini dibuka bukan sahaja kepada pesara tentera dan polis tetapi juga anggota yang masih dalam perkhidmatan serta anak kepada pesara pasukan berkenaan. 

Katanya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pihak bank dan institusi kewangan sebelum ini mendapati sebahagian besar pesara tentera dan polis tidak melepasi syarat untuk memperoleh pinjaman membeli kediaman berkenaan. 

Ditanya mengenai kelewatan melaksanakan projek itu, Zainol Fadzi berkata kerajaan negeri mengakui melakukan kesilapan sebelum ini apabila menandatangani perjanjian usahasama dengan sebuah koperasi yang kemudian didapati tidak berkemampuan melaksanakan projek berkenaan. 

Beliau berkata, kerajaan negeri kemudian membuat keputusan menamatkan perjanjian itu selepas mendapati koperasi berkenaan melanggar beberapa syarat ditetapkan dan proses itu mengambil masa beberapa tahun sebelum dapat dimuktamadkan.

Berita Harian X