Isnin, 6 March 2017 | 5:41pm

RM45j dana bantu syarikat Bumiputera di Sabah


MEGAT Mohd Yatim (kiri) bersama Bahar (tiga dari kanan) ketika hadir di sesi lawatan TERAJU ke syarikat Kotamax Oil Sdn Bhd (KOSB), di Sepanggar, hari ini. - Foto Malai Rosmah Tuah

SEPANGGAR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) menyediakan RM45 juta dana mudah cara bagi membantu syarikat Bumiputera di Sabah, tahun ini.

Pengarah Kanan Keusahawanan dan Pembangunan Perniagaan TERAJU, Megat Mohd Yatim Megat Hamid, berkata dana itu ditawarkan kepada mana-mana syarikat yang melaksanakan projek bernilai sekurang-kurangnya RM500,000.

Beliau berkata, TERAJU akan membiayai 15 peratus daripada nilai projek yang dilaksanakan syarikat terbabit dengan pengagihan dana dibuat selepas projek selesai atau berjaya dilaksanakan.

"Sasaran kita ialah untuk mengagihkan geran mudah cara bernilai RM45 juta kepada syarikat Bumiputera di Sabah pada tahun ini.

"Mana-mana syarikat yang dimiliki oleh Bumiputera dengan sekurang-kurangnya 50 peratus pegangan boleh memohon dan kita akan membuat penilaian sama ada mereka layak menerimanya atau tidak," katanya kepada media pada sesi lawatan TERAJU ke syarikat Kotamax Oil Sdn Bhd (KOSB), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah Bahagian Operasi KOSB, Bahar Rustan dan Pengarah Urusan KOSB, Rosman Jamalus.

Megat Mohd Yatim berkata, sebanyak RM139 juta dana mudah cara sudah diagihkan kepada 52 syarikat dari Sabah membabitkan 55 projek bernilai RM1.073 bilion dalam tempoh lima tahun sehingga akhir 2016.

"Daripada jumlah itu, RM45 juta diagihkan kepada syarikat yang melaksanakan projek pembinaan, diikuti RM36 juta untuk projek minyak dan gas serta masing-masing RM24 juta dan RM21 juta untuk projek pertanian dan perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata, projek lain yang menerima geran dana mudah cara ialah dalam sektor peruncitan sebanyak RM4.5 juta, pelancongan (RM2 juta), makanan dan pembuatan (RM1.7 juta), automotif (RM1juta) dan penjagaan kesihatan (RM700,000).

Selain dana mudah cara, TERAJU menyediakan bantuan menerusi program lain termasuk Dana Teras, Skim Startup Usahawan Bumiputera (SUPERB), Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera Sabah dan Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera dengan kerjasama dewan perniagaan.

Sementara itu, KOSB, iaitu antara syarikat Bumiputera dari Sabah yang dibantu TERAJU menerima sebanyak RM1.16 juta dana mudah cara bagi pembelian 18 lori tangki pada tahun lalu.

Bahar berkata, syarikat itu yang terbabit dalam aktiviti penghantaran minyak dan gas PETRONAS di Sabah, dapat menambah sehingga 20 peratus pekerja hasil bantuan TERAJU.

Berita Harian X