Isnin, 6 March 2017 | 12:20pm

Mat Nadzari fail saman pemula terhadap DUN Selangor


DATUK Mat Nadzari Ahmad Dahlan (dua kiri) dan Peguam, Kamarudin Ahmad (dua kanan) hadir di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi memfailkan saman pemula berkenaan usul yang merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. - Foto Faiz Anuar

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan hari ini memfailkan saman pemula bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa ucapannya dalam perbahasan Bajet Selangor 2017 mendapat perlindungan peruntukan undang-undang.

 

Beliau memfailkan saman pemula itu melalui Tetuan Kamarudin & Partners di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor; Speaker DUN Selangor dan DUN Selangor.

Antara lain, Mat Nadzari memohon pengisytiharan mahkamah bahawa ucapannya pada 1 November 2016 itu mendapat perlindungan di bawah Jadual menurut Artikel 77 Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dan Jadual serta Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa ucapan itu tidak melanggar atau bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Tetap (Standing Order) 36(6) Dewan Negeri Selangor, berdasarkan terjemahan sebenar peruntukan itu serta Peraturan-Peraturan Tetap 36(10) atau sub peraturan dalamnya.

Mat Nadzari turut menyatakan dalam saman pemula itu bahawa selepas ucapannya, ADUN Sungai Pinang mengemukakan usul mengikut Peraturan Tetap 26(1)(p) yang dibentang serta diluluskan pada sidang ketiga (Bajet) Penggal ke-empat DUN ke-13 iaitu pada 10 November tahun lalu.

Katanya, susulan tindakan itu, beliau menerima notis bertarikh 18 Januari 2017 untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung ucapannya itu.

Justeru, Mat Nadzari menyatakan ucapan yang dinyatakan dalam notis itu adalah sebahagian daripada ucapan perbahasannya dan ia seharusnya diteliti dalam konteks yang diucapkan.

Katanya, beliau tidak jelas di mana kesalahan ucapan pada 1 November itu selain menegaskan ia sekadar merujuk kepada petikan perlembagaan sebuah parti komponen Kerajaan Negeri serta ingin mengetahui dan memohon Menteri Besar memberi penjelasan.

Sementara itu, peguam Kamarudin Ahmad berkata, saman pemula itu kali pertama difailkan dalam negara ini.

Katanya, implikasi terhadap kes itu sekiranya dibenarkan oleh mahkamah, mana-mana ADUN bebas untuk bercakap mengenai parti politik dalam sidang DUN.

"Pada masa sama, tindakan ini menghentikan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan daripada membawa laporan siasatan mereka terhadap anak guam saya dalam Sidang DUN akan datang hingga kes ini selesai.

"Kalau dia bawa sekali pun, DUN tidak boleh bincangkan laporan itu kerana ia akan menjadi subjudis berikutan ia masih dalam pertimbangan mahkamah. Kalau kita menang, maka tindakan mereka itu salah.

"Kita tidak mencabar prosiding DUN. Kita hanya mencabar interpretasi semua Peraturan-Peraturan Tetap 36 sama ada anak guam saya ada membuat pelanggaran," katanya.

 

 

Berita Harian X