Isnin, 6 March 2017 | 11:49am
Sebahagian daripada pelajar Markaz Tahfiz Makkah Al-Mukarramah di Sharqia, Mesir yang ditahan polis negara itu hujung bulan lalu kerana kesalahan visa tiba di KLIA. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Pelajar harap dapat sambung belajar di Mesir

SEPANG: Kebanyakan pelajar Markaz Tahfiz Makkah Al-Mukarramah di Sharqia, Mesir, masih mahu meneruskan pengajian di sana jika keadaan mengizinkan.

Seramai 55 pelajar tiba di tanah air dari Mesir selepas ditahan polis negara itu hujung bulan lalu berhubung kesalahan visa.

Pelajar, Faris Isma Mohd Yusof, 20, berkata suasana belajar di sana yang berbeza membuatkan mereka lebih fokus untuk menghafaz al-Quran.

"Jika boleh selepas urusan visa ini selesai, saya harap dapat balik dan belajar di sana semula," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini sebaik tiba dari Mesir.


Sebahagian daripada pelajar Markaz Tahfiz Makkah Al-Mukarramah di Sharqia, Mesir yang ditahan polis negara itu hujung bulan lalu kerana kesalahan visa tiba di KLIA. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Semalam, pengasas markaz itu, Noranisah Abdul Malek berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut bersama ibu bapa pelajar dan pihak Wisma Putra berhubung kegagalan kumpulan pelajar diberikan visa.

Menceritakan pengalaman disoal siasat polis Mesir, Faris Isma berkata selepas pemeriksaan dokumen lebih lima jam oleh polis Mesir di pusat pengajian, dia bersama pelajar lain ditempatkan di sebuah pusat latihan polis di Zagazig tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Ketika pemeriksaan dibuat saya sedang mengaji. Tiada kekasaran dibuat dan kami dilayan dengan baik.

"Permohonan visa juga sudah dibuat dengan kedutaan Malaysia di Mesir dan saya harap dapat diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Afiz Syakiran Mohd Afizaini, 12, berkata dia berharap dapat kembali dan belajar di sana.

"Abang saya (Wijdan Syukran Mohd Afizaini, 15) masih di sana meneruskan pengajian. Saya lebih suka belajar menghafaz al-Quran di sana, " katanya yang sudah dua tahun belajar di sana.

Berita Harian X