Isnin, 6 March 2017 | 7:56am

2 gol Griezmann bantu Atletico benam Valencia


ANTOINE Griezmann meraikan jaringan gol menewaskan penjaga gol Valencia, Diego Alves. - Foto REUTERS/Javier Barbancho

BARCELONA: Penyerang Atletico Madrid dari Perancis, Antoine Griezmann dan Kevin Gameiro masing-masing meledak jaringan bagi membantu pasukan itu menewaskan Valencia 3-0.

Kemenangan itu membantu Atletico menjamin slot layak ke Liga Juara-Juara buat kali keempat.

Penjaring terbanyak, Griezman meledak jaringan pembukaan pada minit ke-10 manakala Gameiro menambah gol peribadi ke-10 musim ini, tiga minit selepas rehat babak pertama.

Griezmann menemui gol keduanya pada minit ke-83 selepas menerima hantaran daripada Thomas Partey untuk menjadikan jumlah jaringan keseluruhannya kepada 12 untuk kempen liga musim ini.

Kemenangan itu jelas penting buat Atletico tambahan pula pasukan itu tewas di tangan Barcelona dan diikat 1-1 oleh Deportivo La Coruna, minggu lalu.

Pemain tonggak kelab, Fernando Torres hanya berada di bangku penonton kerana sedang dalam pemulihan trauma di kepala ketika perlawanan dengan Deportivo selain diberi sorakan padu oleh penyokong di babak kedua.

"Satu prestasi menakjubkan selepas perlawanan Khamis lalu, kami bertindak balas dengan baik secara fizikalnya dan bijak mengawal perlawanan," kata jurulatih Atletico, Diego Simeone.

"Kami menguasai babak pertama dan boleh meledak jaringan yang lebih banyak."

Atletico kini berada di tangga keempat La Liga dengan 49 mata, satu mata di atas Real Sociedad yang menewaskan Real Betis 3-2, Jumaat lalu. -

Selain itu, perlawanan berkenaan juga adalah yang ke-200 buat Simeone sejak mengambilalih Atletico pada Disember 2011.

Dia adalah jurulatih kedua Atletico melepasi penanda aras itu, dengan yang terdahulu adalah Luis Aragone, menjadi jurulatih kelab untuk 407 perlawanan liga.

Reuters

Berita Harian X