Ahad, 5 March 2017 | 11:32am

Lelaki rentung terperangkap dalam kereta terbakar

GEORGETOWN: Seorang lelaki rentung selepas kereta yang dipandunya terbabas sebelum terbakar di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, berdekatan bangunan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Batu Uban di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 8 pagi itu, mangsa, Oh Chun Guan, 25, berasal dari Jalan Amoi, maut selepas terperangkap di dalam keretanya yang terbakar akibat melanggar pokok di tepi jalan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalatrash, berkata mangsa sedang memandu dari arah Bayan Lepas menghala ke pusat bandar sebelum kenderaannya hilang kawalan.


Kebakaran sebuah kereta jenis proton Saga mengakibatkan seorang lelaki berbangsa Cina berusia lingkungan 20- an maut di tempat kejadian di lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown. Anggota bomba menjalankan siasatan dan mengeluarkan mangsa di lokasi kejadian yang berlaku kira-kira 8.30 pagi. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZA

"Kereta yang dipandu mangsa dipercayai gagal dikawal sebelum terbabas ke bahu jalan dan merempuh pokok mengakibatkan kereta jenis Proton Saga itu terbakar.

"Mangsa kemudian terperangkap ketika api marak membakar kenderaan dan mayat dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Zulkifli Ramli, berkata pihaknya mengambil masa 10 minit bagi memadamkan kebakaran kenderaan berkenaan.

Kebakaran sebuah kereta jenis proton Saga mengakibatkan seorang lelaki berbangsa Cina berusia lingkungan 20- an maut di tempat kejadian di lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Georgetown. Anggota bomba menjalankan siasatan dan mengeluarkan mangsa di lokasi kejadian yang berlaku kira-kira 8.30 pagi. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZA
Berita Harian X