Ahad, 5 March 2017 | 12:47am
BERGAMBAR selepas tamat larian Asics Penang
BERSAMA rakan yang turut menyertai larian.
KAK Ngah bersama suami dan anaknya menyediakan

Berniqab bukan halangan untuk aktiviti larian


NIQAB tidak menghalang Kak Ngah melakukan aktiviti maraton yang diminati sejak

BERNIQAB bukan menjadi penghalang buat wanita ini untuk membabitkan diri dalam dunia larian yang menjadi hobinya sejak remaja.

Bagi Ruselawati Abu Bakar, berniqab juga tidak memberikan masalah untuk beliau beriadah dan melakukan aktiviti yang disukainya itu.

Beliau yang mengenakan niqab sejak empat tahun lalu tidak menafikan, ramai yang memandangnya dengan rasa hairan.

"Jujur cakap, memang ada saja mata-mata yang memandang pelik.

"Selalu selalunya saya akan buat tak tahu saja kerana niat diri cuma satu, iaitu mengekalkan kesihatan dengan berlari," katanya.

Bagaimanapun, rakan atau kenalan yang sudah mengenali dan biasa bersamanya, sudah tidak ambil kisah dengan penampilannya, malahan mereka turut menerima serta memberi sokongan dengan cara beliau berpakaian.


KAK Ngah bersama kumpulan yang menamatkan LSD di hentian R&R Genting Sempah, baru-baru ini

Ruselawati berkata, rakan-rakannya memaklumkan hanya beliau sahaja 'niqabis runner' yang aktif ketika ini.

"Saya sendiri tidak tahu tapi ramai yang bagi tahu hanya saya sahaja pelari berniqab yang mereka temui setakat ini.

"Saya sendiri tidak berdepan dengan sebarang masalah dengan cara pemakaian asalkan selesa untuk berlari nanti," katanya.


KAK Ngah berbual bersama rakan yang menyertai latihan LSD yang bermula dari Gombak

Minat sejak remaja

Bercerita mengenai aktiviti yang dilakukannya itu, Ruselawati berkata, ia bukan sekadar untuk kesihatan tetapi memberi kepuasan kepada dirinya.

Wanita berusia 32 tahun ini sudah terbabit dalam secara serius sejak dua tahun lalu selepas menyertai Team Malaysia Fun Run 2015.

"Saya mula meminati aktiviti ini (berlari) sejak sekolah lagi. Emak dan bapa tak suka, sebab mereka nak saya bagi tumpuan dalam pelajaran," katanya.

Menghormati larangan dari ibu dan bapanya membuatkan beliau melupakan impian untuk menjadi pelari maraton atau jarak jauh.

Namun, minatnya dengan aktiviti larian tidak pernah padam.

Apabila mendapat kerja dan kini mendirikan rumah tangga, hobi berlari menyala semula dan kekal hingga hari ini.


KAK Ngah menyertai larian di Kuala Kangsar.

Berkongsi keseronokan

Berkongsi keseronokan dengan aktiviti itu, Ruselawati berkata, beliau menekankan sesiapa sahaja boleh berlari sekiranya mempunyai minat dan azam yang kuat.

"Sesiapa sahaja yang sihat sebenarnya boleh berlari malah aktiviti ini juga akan membuatkan kita ketagih bila dijadikan rutin.

"Menyertai pertandingan larian seperti maraton atau mini maraton mengajar kita untuk mempunyai semangat dan keazaman yang tinggi. Sekurang-kurangnya berazam untuk menghabiskan larian dalam jarak yang ditetapkan.

"Banyakkan bergaul dengan pelari lain untuk dapatkan tips serta kongsi pengalaman untuk dijadikan panduan," katanya.

Menyedari kemampuan dan minatnya dengan aktiviti larian, Ruselawati pernah menyertai maraton di dalam dan luar negara seperti di Bali, Jakarta dan Singapura.


KAK Ngah menyertai larian di Kuala Kangsar.

Kebanyakan maraton disertai secara sendirian dan beliau gunakan peluang yang ada untuk melihat serta membandingkan cara penganjuran di sana.

"Lain tempat, lain perasaannya dan saya juga dapat menambah pengalaman dan kawan-kawan baharu yang berkongsi minat yang sama," katanya.

Aktiviti larian hujung minggu pula mendapat sokongan rakan-rakan Facebook yang berkumpul untuk menyertai latihan jarak sederhana sejak Oktober tahun lalu.

"Saya akan muat naik status program latihan hujung minggu yang akan berlangsung dan bulan lepas saja, seramai 32 orang sudah menyertainya," katanya.


KAK Ngah ketika menyertai Maybank Bali Marathon Ogos tahun lalu.

PROFIL

- Ruselawati Abu Bakar

- Asal: Muar, Johor

- Pekerjaan: Eksekutif Kanan Pentadbiran

- Sudah menyertai 30 program maraton tahun 2016.

- Fokus untuk menyertai maraton di Chiangmai dan Bangkok tahun ini.

- Selain maraton, melakukan aktiviti kecergasan lain seperti berbasikal.

Berita Harian X