Sabtu, 4 March 2017 | 10:48pm

Dua jam padam kebakaran kilang minyak wangi


KEBAKARAN kilang minyak wangi di Jalan TPK 2/3 Taman Perindustrian Kinrara, Puchong dekat sini, petang tadi. - Foto ihsan Bomba

SERDANG: Sebuah kilang menghasilkan minyak wangi di Jalan TPK 2/3 Taman Perindustrian Kinrara, Puchong dekat sini, musnah dalam satu kebakaran, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, beberapa letupan turut berlaku dalam kebakaran yang dikesan bermula daripada bilik simpanan tong gas kilang berkenaan.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada jam 2.44 petang, menghantar empat pasukan bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong, BBP Subang, BBP Penchala dan BBP Serdang dengan kekuatan 25 anggota.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Hisam Mat Yasih, berkata bomba berhadapan sedikit kesukaran untuk memadamkan api kerana ia membabitkan bahan kimia serta gas mudah terbakar.

"Kami mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengawal api sebelum kebakaran dapat dipadamkan sepenuhnya.

"Beberapa letupan juga berlaku dan kami terpaksa berhati-hati ketika operasi memadam, selain turut berhadapan sedikit kesukaran kerana kekurangan sumber air di lokasi," katanya.

Menurutnya, kebakaran itu menyebabkan 50 peratus kilang berkeluasan 464.5 meter persegi itu musnah.

Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan tiada mangsa terbabit dalam kebakaran itu.

Berita Harian X