Sabtu, 4 March 2017 | 4:13pm

Anggota Cawangan Khas IPK Selangor maut nahas


KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18.1 Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Kota Damansara, Petaling Jaya, awal pagi tadi.

PETALING JAYA: Seorang anggota polis Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18.1 Lebuh raya Baru Lembah Klang (NKVE) menghala Kota Damansara di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.40 pagi itu, Sarjan Mejar Suvinder Singh Indur Singh, 52, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, kenderaan jenis Toyota Camry dipandu mangsa berlanggar dengan sebuah kenderaan tidak dikenal pasti lalu merempuh penghadang jalan sebelum melintang di tengah lebuh raya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Kamaludin Mohamad, berkata sebuah Land Rover yang melalui lokasi kejadian cuba mengelak daripada melanggar kedua-dua kenderaan tetapi terbabas dan terbalik di lorong kecemasan.

Katanya, sebuah kenderaan jenis Toyota Fortuner yang turut melalui lebuh raya itu cuba mengelak sebelum terbabas ke lorong kecemasan.

Beliau berkata, penumpang Land Rover dikenal pasti sebagai Abu Hassan Said, 61, dan mengalami kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat," katanya.

11 dibaca
Berita Harian X