Sabtu, 4 March 2017 | 6:01am

Legasi Jins Shamsudin tidak ternilai

NEGARA kehilangan sebutir permata seni, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, 81, yang memberi sumbangan tak ternilai selama lebih 60 tahun mengabdikan diri dalam dunia perfileman.

Allahyarham bukan saja mencipta legasi dunia perfileman dengan karya yang menjadi rujukan pembikin filem, malah ketokohannya dalam bidang politik diakui ramai. Bermula sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja UMNO Cawangan Coronation Road, Singapura, pada 1959, beliau dilantik sebagai Senator pada 13 Oktober 2004.

Pencapaian itu adalah suatu rekod dan kejayaan besar buat anak seni yang julung kali dilantik menduduki kerusi Senator.

Jins atau nama sebenarnya, Mohamed Jins Samsudin dilahirkan di Sungai Limau, Taiping, Perak pada 5 November 1935. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pendang Siam, Batu 8, Jalan Trong, Taiping.

Menyoroti jejak karier Allahyarham dalam dunia seni, tanggal 16 Mei 1956 menjadi detik bermulanya kembara Jins dalam menjadi seniman tersohor. Dengan gaji permulaan serendah S$70 pada zaman itu, Allahyarham tampil dalam filem sulung, Keadilan Ilahi dan Anakku Sazali. Dalam kedua-dua filem itu, beliau memegang watak kecil.

Sikapnya yang tekun memerhati kru bekerja selain keperibadiannya yang menyenangkan, mendorong Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee memilihnya untuk menerajui filem Panca Delima pada 1957.

Era kegemilangan

Sejak itu, bermulalah era kegemilangan Allahyarham dalam dunia perfileman Melayu di Singapura. Sepanjang berada di Singapura, Allahyarham berlakon dalam 27 filem sehingga karya terakhir iaitu Gerak Kilat pada 1966.

Allahyarham kemudian melebarkan sayap dengan membintangi filem yang diterbitkan di Hong Kong pada tahun 1967 iaitu Bayangan Ajal dan Jurang Bahaya, kedua-duanya arahan Loh Wei.

Kembali ke Kuala Lumpur, Jins membintangi filem Amuk Tok Nadim pada 1968 disusuli 15 filem lain.

Ketika mengejar populariti sebagai bintang filem di Singapura, Allahyarham menyimpan azam yang tinggi untuk mengasah bakatnya dalam bidang pengarahan.

Berkat kegigihan dan kesungguhannya mendalami ilmu filem sama ada melalui pembacaan dan pengamatan di lokasi penggambaran, Jins beroleh peluang pertama untuk mengarahkan filem Bukan Salah Ibu Mengandung pada 1969.

Selepas karya sulung itu, Jins menghasilkan filem Di Belakang Tabir pada 1969; Menanti Hari Esok (1977); Tiada Esok Bagimu (1978); Esok Masih Ada (1979); Bukit Kepong (1980); Esok Untuk Siapa (1982); Eagle Hunter (1983); Ali Setan (1985); Balada (1992); Wawasan (1992) dan Memori (1993).

Siri filem 'Esok' yang digarap Allahyarham mendapat sambutan hangat ketika ditayangkan. Filem Menanti Hari Esok mencapai tahap box office bagi filem Melayu ketika itu. Ini disusuli dengan Tiada Esok Bagimu yang bermodalkan RM250,000 dan Esok Masih Ada yang dihasilkan pada kos RM300,000. Menyajikan realiti kehidupan masyarakat Melayu pada era itu, siri filem 'Esok' melahirkan nama-nama besar dalam industri seni seperti Allahyarham Azean Irdawaty, Noor Kumalasari dan Fauziah Ahmad Daud.

Watak Jiman yang dipegang Allahyarham dalam filem Esok Untuk Siapa cukup meruntun perasaan dan diingati hingga sekarang. Sebuah lagi karya yang menyerlahkan kewibawaan beliau adalah filem Bukit Kepong yang diarahkan ketika dirinya berusia 45 tahun. Filem yang memaparkan kisah benar perjuangan sekumpulan anggota polis yang mempertahankan balai polis di Bukit Kepong daripada serangan pengganas komunis, meninggalkan kesan mendalam, malah menjadi rujukan pengkaji sejarah dan perfileman sehingga hari ini.

Pengarah Terbaik

Menerusi filem itu juga, beliau dijulang sebagai Pengarah Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ketiga (FFM3). Bukit Kepong juga diangkat sebagai Filem Terbaik dan pemenang Adaptasi Terbaik pada festival sama.

Sebelum itu, Jins sudah pun memenangi dua kategori arahan menerusi Tiada Esok Bagimu pada Pesta Filem Asean 1978 diikuti Tiada Esok Bagimu (FFM1). Jins juga memenangi trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem berkenaan.

Atas pencapaiannya, Allahyarham menerima Anugerah Seniman Negara pada 2009. Edisi ke-18, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2004 juga mengiktiraf sumbangan besar beliau dalam mengangkat martabat seni negara dengan trofi Anugerah Seniman Veteran.

Sepanjang hayatnya, Allahyarham juga dikenali sebagai tokoh yang banyak berjuang untuk kebajikan pekerja industri filem. Jins pernah menganggotai beberapa persatuan seperti Persatuan Artis Malaya pada 1957; Persatuan Seni Coronation Road (1957); Persatuan Seni Pasir Panjang (1959) dan Persatuan Kesenian Singapura.

Jins juga lantang dalam memperjuangkan nasib pekerja Studio Jalan Ampas sehingga dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Bertindak mewakili Kesatuan Studio Jalan Ampas untuk berunding dengan Shaw Brothers yang dikatakan sering mengeksploitasi pekerja ketika itu.

Memikirkan soal survival filem Melayu, Jins ketika hayatnya, banyak melontarkan idea bagi meningkatkan mutu penghasilan filem. Jins dilaporkan pernah mengkritik peralatan penggambaran di studio di Hulu Klang yang sudah berusia lebih 30 tahun, tetapi masih digunakan dalam pembikinan filem.

Jins juga menggariskan beberapa perkara bagi menyekat monopoli yang tidak sihat dalam kalangan pembikin filem. Antaranya, beliau pernah meminta kerajaan memberi perhatian kepada peluang anak Melayu mengendalikan filem mereka sendiri, menguatkan undang-undang kemasukan filem asing dan mengenakan cukai import yang tinggi ke atas filem luar.

Hargai peminat

Jins dikesan menghidap penyakit Alzheimer pada 2011. Berikutan itu, beliau mula jarang dilihat menghadiri acara hiburan sebaliknya banyak menghabiskan masa di rumah bersama keluarga.

Jins yang sentiasa tampil segak dan kemas sejak usia muda, pernah berpesan kepada rakan artis terutama bakat baharu supaya sentiasa menjaga hati peminat.

"Biar bagaimana sibuk sekalipun saya tetap akan melapangkan sedikit masa melayani pelawat kerana mereka datang dari jauh. Mungkin dalam pergaulan itu, saya boleh meninjau pandangan mereka untuk memperbaiki lakonan saya.

"Saya sayang kepada peminat saya. Kalau mereka tidak memuja saya, tidak meminati saya, masakan orang mengenali siapa saya. Kerana itu saya tidak keberatan melayan mesra kerenah peminat, sama ada dengan menjawab surat mereka, menjawab panggilan telefon atau semasa bertemu sendiri secara peribadi," katanya yang dipetik daripada buku Kembara Seorang Seniman Jins Shamsudin.

Berita Harian X