Jumaat, 3 March 2017 | 11:59pm

Harimau Selatan benam Tok Gajah di Larkin


PEMAIN Johor DT, Safiq Rahim (8) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Super 2017 menentang Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) menyentap ego Pahang selaku pendahulu selepas menewaskan lawannya itu 3-2 dalam aksi tunggal Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, malam tadi.

Tekad tuan rumah untuk memenangi aksi ini hadir seawal minit keenam selepas Gonzalo Cabrera bertindak menyusup masuk ke dalam kotak penalti, namun bola sepakan deras terbias pertahanan pelawat.

Selepas itu, tindakan Junior Eldstal cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya pada minit ke-14 dihalang Muhd Nor Azam Abdul Azih yang pantas mengumpan bola kepada Matheus Alves sebelum merembat menewaskan penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan.

Tersentak dengan jaringan pendahuluan itu, anak didik Benjamin Mora mula mengatur serangan untuk mencari gol penyamaan, namun keampuhan benteng pertahanan Tok Gajah menerusi gandingan Heo Jae-won dan Mohd Afif Amiruddin sukar diroboh.

Malah percubaan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada minit ke-25 masih belum mampu menewaskan penjaga gol, Wan Muhd Azraie Wan Teh tatkala bola sekadar sipi dari gawang gol.

Pun begitu, sepakan percuma kapten pasukan, Safiq Rahim dari luar kotak penalti pada minit ke-27 terkena tangan Mohd Afif untuk pengadil perlawanan, Zulkfili Ahmad menghadiahkan sepakan penalti.

Safiq yang ditugaskan mengambil sepakan mengundang cemas selepas bola ditampan Wan Muhd Azraie tetapi kepantasan Ahmad Hazwan Bakri yang menyusul menyambar bola muntah untuk menjaringkan gol penyamaan.

Ahmad Hazwan mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-36 selepas Safiq bijak melorongkan bola di celah-celah benteng pertahanan lawan yang tampak masih tergamam , dengan rembatan ke sudut kiri menewaskan Wan Muhd Azraie.

Safiq menebus kegagalan sepakan penalti pada babak pertama apabila bola gerakan yang dimulakan Gabriel Guerra pada minit ke-55, diambil S Kunanlan untuk disudahkannya bagi meletakkan JDT di depan, 3-1.

Pelawat bangkit merapatkan jurang gol pada minit ke-68 dengan Alves turut mencipta gol kedua peribadi apabila meledakkan sepakan percuma dari jarak 25.

Tuan rumah berpeluang menjarakkan kedudukan ketika aksi berbaki dua minit berpunca dari sepakan lintang pemain gantian, Mahali Jasuli tetapi bola deras sepakan Safiq melambung tinggi.

Berita Harian X