Jumaat, 3 March 2017 | 4:08pm

Judika bantu anak muda capai impian


PENYANYI Indonesia, Judika pada sidang media 'Malam Sensasi Bersama Judika' di Menara KL.- Foto Mahzir Mat Isa

KUALA LUMPUR: Kepayahan 'menjual' lagu dan bakat membuatkan Judika berjanji membantu penyanyi serta komposer muda merealisasikan impian.

Melalui Judika Project, penyanyi popular Indonesia ini memilih lima lagu ciptaan peminat untuk dimuatkan dalam album keenam yang bakal diedarkan, tidak lama lagi.

"Saya pernah rasa susah mencari ruang dalam industri nyanyian. Turun naik syarikat rakaman bukan sekali dua dengan karya ditolak mentah-mentah.

"Malah, ada kaset demo yang dikirim mungkin tidak didengari syarikat rakaman. Ketika itu, ada pihak meminta saya menghasilkan lagu seperti ST12. Mengapa mahu meniru identiti penyanyi lain bukan?

"Memang pengalaman sepanjang 'menjual' lagu dan suara saya penuh emosi," katanya.

Namun, Judika berkata, dia tidak pernah hilang semangat. Akhirnya, dia diterima menyertai program realiti, Indonesian Idol.

"Sudah disuratkan rezeki saya bermula di situ. Biar apapun, saya ingat janji lalu. Menyanyikan lagu ciptaan komposer amatur ini adalah cara terbaik untuk mereka selangkah menggapai mimpi," katanya.

Judika ditemui pada sesi pendengaran eksklusif lagu Jadi Aku Sebentar Sahaja, Jikalau Kau Cinta, Ku Cintamu Sang Penipu, Sang Juara dan I Love You yang terkandung dalam album baharunya di Menara Kuala Lumpur, di sini.

Judika menambah, sepanjang penganjuran Judika Project, naib juara Indonesian Idol musim kedua itu menerima lebih 400 penyertaan.

Judika atau nama sebenarnya, Judika Nalon Abadi Sihotan, 38, bakal menemui penonton pada Malam Sensasi Bersama Judika di IOI Putrajaya, mulai jam 8 malam ini.

Berita Harian X