Jumaat, 3 March 2017 | 3:40pm

Aguero mahu segera pulih bantu MU

MELAKA: Penyerang Melaka United (MU) kelahiran Argentina, Sergio Aguero berazam memberi sentuhan terbaik membantu pasukan berkenaan terus releven berada dalam saingan kompetitif Liga Super musim ini.

Mengakui persembahan sedikit terjejas akibat kecederaan, dia bertekad menyumbang kudrat sebaik mungkin buat skuad MU yang menyenaraikannya musim ini.

Katanya, dia masih dilanda kesakitan namun tetap memberi persembahan yang positif untuk menyumbang peranan yang besar buat skuad Hang Tuah pada setiap perlawanan.

"Saya mahu memberikan yang terbaik buat MU. Bimbingan  jurulatih Eric Williams memberi kesan besar kepada persembahan pasukan ini, selain keserasian yang kian memberangsangkan bersama rakan sepasukan.

"Saya akan berusaha untuk pulih dan cergas semula dalam memberikan persembahan efektif buat pasukan MU tanpa mengira siapa yang menjaringkan gol. Apa yang saya harapkan saya segera pulih daripada kecederaan ini," katanya.

Aguero berkata demikian selepas bertemu Pengurus Pasukan MU, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi di pejabat Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA),  dengan Yusoff  mahu pemain terbabit segera mencari alternatif untuk kembali pulih sepenuhnya.

Sementara itu, Mohd Yusoff berkata, sumbangan Aguero amat diperlukan buat skuad Hijau Putih berikutan peranannya yang positif menghidupkan jentera tengah dan serangan.

Katanya, pemain itu dilihat memiliki kemahiran tinggi selain bijak melakukan hantaran dan percubaan bahaya ke gawang lawan.

"Namun agak membimbangkan selepas tujuh perlawanan dia hanya beraksi pada tiga perlawanan namun tidak semua sentuhannya berjaya dihabiskan untuk tempoh 90 minit termasuk berdepan Pulau Pinang, Rabu lalu akibat kecederaannya," kata Yusoff.

"Apapun kami masih percaya kepadanya dan memberi peluang untuk dia memberikan yang terbaik buat skuad Sang Kancil," katanya.

MU bakal berdepan ujian getir bertemu Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam esok.

Berita Harian X