Jumaat, 3 March 2017 | 11:26am

Jenazah pelajar lemas di New Zealand dikebumi


ADIK kepada Abdul Azim Amzar Azmi, Aziatul Farisha mengiringi jenazah Abdul Azim Amzar yang mati lemas ketika mandi di Tasik Karapiro, New Zealand ketika tiba di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Fariz Iswadi Ismail

ALOR SETAR: Jenazah pelajar Malaysia yang lemas di Tasik Karapiro di Waikato, New Zealand, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Kampung Belukar, Hutan Kampung, sebentar tadi.

Abdul Azim Amzar Azmi, 21, dikebumikan kira-kira jam 10.30 pagi selepas tiba di rumahnya di Kampung Belukar, Hutan Kampung dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.20 pagi.

Terdahulu, jenazah pelajar tahun dua Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Waikato, New Zealand disembahyangkan dengan diimamkan Imam Masjid Jamek Kampung Belukar, Prof Abdullah Abdul Ghani bersama kira-kira 100 jemaah.

Abdul Azim dilaporkan lemas di Tasik Karapiro kira-kira jam 3.30 petang waktu tempatan dan mayatnya ditemui jam 12.30 tengah hari pada Isnin.

Jenazah tiba di KLIA jam 8.30 malam tadi dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyediakan van jenazah bagi membawa pulang Allahyarham ke Kedah.

Berita Harian X