Khamis, 2 March 2017 | 6:32pm
- Gambar hiasan/Sharul Hafiz Zam

Harga getah ditutup lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup keseluruhannya lebih tinggi hari ini seiring dengan pasaran hadapan getah serantau serta penyusutan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Menurutnya, kenaikan dalam pasaran hadapan getah di Bursa Komoditi Tokyo disokong oleh inventori yang rendah serta kemerosotan yen berbanding dolar.

Pada tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 turun 4.0 sen kepada 912.0 sen sekilogram manakala lateks pukal menambah 1.5 sen kepada 774.5 sen sekilogram.

Harga penutup tidak rasmi pada jam 5 petang untuk gred tayar SMR 20 melonjak 22 sen kepada 936.5 sen sekilogram dan susu getah pukal meningkat 3.5 sen kepada 776.0 sen sekilogram. - BERNAMA

Berita Harian X