Khamis, 2 March 2017 | 4:13pm

AirAsia tumpu pertumbuhan, kurangkan kos

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd, syarikat penerbangan tambang rendah, akan terus menumpukan pertumbuhan operasi perniagaannya tetapi pada masa sama turut memberi penekanan pengurangan kos serta penggunaan tinggi pesawatnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pertumbuhan adalah perkara penting dalam operasi syarikat itu dan ia akan menjadi pertumbuhan yang menguntungkan apabila pelaburan turut dijalankan.


KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes. - Foto Fariz Iswadi Ismail

"Selain pertumbuhan, kami juga mengurangkan kos, terutama dengan syarikat penerbangan yang sama. Penggunaan lebih tinggi, pesawat baharu, lebih banyak tempat duduk selain data dan teknologi," katanya menerusi kiriman dalam Twitter, hari ini.

AirAsia mencatatkan keuntungan sebelum cukai tinggi RM2.16 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016, daripada RM215.15 juta pada 2015 manakala pendapatan meningkat kepada RM6.92 bilion daripada RM6.29 bilion.

Syarikat penerbangan itu berkata prestasi hasil yang meningkat itu disumbang oleh pertumbuhan penumpang, pendapatan sampingan bagi setiap penumpang yang lebih tinggi setiap tahun dan peningkatan purata tambang sebanyak enam peratus kepada RM167.

Sementara itu, Centre for Aviation (CAPA) memetik Ketua Strategi Kumpulan AirAsia, Subashini Silvadas sebagai berkata AirAsia Malaysia mungkin menambahkan bilangan pesawat A320s lebih daripada lapan seperti dirancang ketika ini.

"Kumpulan kini merancang mencapai 300 pesawat A320s menjelang 2021 dan 333 pesawat menjelang 2022 berbanding 176 pada akhir 2016," kata CAPA sebagai memetik kenyataan Subashini ketika CAPA Airline Fleet and Finance Summit 2017 yang sedang berlangsung di Singapura.

Beliau berkata, kumpulan itu memperoleh 10 pajakan A320neo daripada 13 yang dirancang bagi tahun 2017.

Katanya, AirAsia Japan akan melancarkan perkhidmatannya tidak lama lagi dengan perancangan memiliki lima pesawat lima pesawat A320s tahun ini.

"AirAsia Japan tidak boleh menggunakan Airbus Neo berikutan peraturan di Jepun," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X