Khamis, 2 March 2017 | 1:59pm

Arwah ambil berat pelakon - Noor Kumalasari


PUAN Sri Halijah Abdullah menyiram air mawar ke pusara Allahyarham suaminya, Tan Sri Jins Samsuddin selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, Hulu Klang. Gambar kecil, Noor Kumalasari. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

HULU KLANG: Pelakon berpengalaman, Noor Kumalasari, 61, menyifatkan seniman legenda, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin sebagai seorang pengarah yang sangat mengambil berat perihal pelakonnya.

Noor yang membintangi tiga daripada empat filem Esok arahan beliau, iaitu Esok Untuk Siapa, Menanti Hari Esok dan Tiada Esok Bagimu, berkata biarpun berperawakan serius dan tegas, arwah amat prihatin terhadap mereka yang bekerja dengannya, terutama pelakon utama.

"Saya sendiri banyak belajar ilmu lakonan daripada beliau, terutama daripada watak sedih. Hanya beliau pengarah yang saya boleh tenung matanya dan air mata pun menitis. Arwah memiliki sepasang mata yang unik.

"Saya pernah cakapnya, boleh tak saya nak tenung mara Uncle untuk saya menangis? Itulah antara kenangan dan ilmu saya pelajari, yang akan saya ingat sampai bila-bila," kata Noor ketika ditemui pada acara pengebumian Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Ridhuan, di sini, pagi tadi.

Mengimbau kembali detik dirinya dipilih memegang watak utama filem Menanti Hari Esok, katanya, ketika itu arwah sememangnya sedang mencari pelakon muda berambut panjang bagi memegang karakter Rohayu.

"Arwah Aimi Jarr yang menunjukkan gambar saya kepadanya, kebetulan ketika itu saya aktif sebagai model. Saya diambil berlakon tanpa melalui sebarang proses uji bakat," katanya.

Menganggap Allahyarham seorang pelakon dan pengarah yang memiliki karisma tersendiri sehingga membuatkan orang ramai menghormatinya, aktres berkenaan berkata, industri kini kehilangan insan yang kuat memperjuangkan nasib anak seni.

"Arwah seorang yang prihatin terhadap nasib artis lama, sebab itulah sekarang ini ramai orang mengambil berat mengenai artis. Kita patut hargai artis veteran kerana banyak perjuangan yang sudah mereka lakukan terhadap dunia seni," katanya.

Jenazah Allahyarham selamat disemadikan kira-kira 10.30 pagi tadi. Hampir 1,000 orang hadir memberikan penghormatan terakhir pada acara pengebumian beliau, termasuk teman seperjuangan dan rakan artis.

Antara rakan artis yang kelihatan adalah Datuk Dr Ahmad Nawab, Datuk Rahim Razali, Datuk Yusof Haslam, Datuk M Nasir dan Othman Hafsham.

Jins meninggal dunia pada usia 81 tahun petang semalam dipercayai sesak nafas selepas menikmati hidangan petang bersama isterinya, Puan Sri Halijah Abdullah, di kediaman mereka di sini.

154 dibaca
Berita Harian X