Khamis, 2 March 2017 | 1:33pm

Honda Malaysia sasar jual 2,000 unit City sebulan

SHAH ALAM: Honda Malaysia Sdn Bhd meneruskan momentum sebagai pendahulu segmen bukan nasional menerusi pelancaran model baharu City, dengan sasaran jualan 2,000 unit sebulan.

City baharu didatangkan dengan banyak penambahbaikan dan ciri standard canggih yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu S, E dan V. Varian S adalah naik taraf varian S+ sebelum ini.

Di sebalik penambahbaikan ciri yang signifikan ke atas City baharu, harga varian E dan V masing-masing tidak berubah pada RM84,600 dan RM92,000.

Harga varian S pula dikurangkan sebanyak RM1,000 berbanding Varian S+ sebelum ini kepada RM78,300, walaupun banyak ciri keselamatan dan canggih ditawarkan.

PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd, Katsuto Hayashi. - Foto Azhar Ramli

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi, berkata City baharu dan model kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu, BR-V selain dua lagi model yang bakal dilancarkan tidak lama lagi akan membolehkan ia mencapai sasaran jualan 100,000 unit tahun ini.

"City baharu didatangkan bersama pelbagai ciri tambah nilai tanpa peningkatan harga dan amat berbangga kerana dapat menunaikan janji untuk menawarkan City baharu yang memiliki pelbagai ciri segmen C pada harga segmen B.

"Saya yakin bahawa tiga varian ini mampu menarik minat pembeli yang ingin menaik taraf dan menukar kereta," katanya pada pelancaran model baharu City di sini, sebentar tadi.

Sejak City generasi keempat dilancarkan pada Mac 2014, model sedan segmen B itu menjadi peneraju dalam kelas berkenaan dengan lebih 100,000 unit jualan di Malaysia.

Ia mewakili hampir 40 peratus jualan Honda Malaysia dalam tempoh tiga tahun ini.

City baharu mengekalkan enjin Honda 1.5L i-VTEC yang dipadankan dengan transmisi "Continuous Variable Transmission" (CVT) canggih yang dibangunkan di bawah teknologi "Earth Dreams Honda" untuk menawarkan keseimbangan prestasi pemanduan dan penjimatan bahan api.

Berita Harian X