Khamis, 2 March 2017 | 12:07am

Pelatih juruterbang lelaki jadi amah

KUALA LUMPUR: Tanpa mempedulikan tanggapan negatif, seorang pelajar lelaki pusat latihan penerbangan sanggup bekerja sambilan sebagai pencuci rumah untuk menampung keperluan belajar sebelum mampu memiliki lesen juruterbang, pada akhir tahun ini.

Muhd Zharif Faisal Zabidi, 25, yang kini mengikuti latihan penerbangan di FAS Udara Flying Club, mengaku ada segelintir komuniti memandang pekerjaan tukang cuci sebagai bertaraf rendah, lebih-lebih lagi kebanyakan mereka yang terbabit adalah warga asing tetapi ia tidak sedikit pun menggugat keyakinannya.

Bertugas sambilan sejak lapan bulan lalu menerusi agensi perkhidmatan mencuci rumah, Maideasy Sdn Bhd, beliau selesa dengan fleksibiliti jadual pekerjaan itu bersesuaian kesibukan dirinya yang masih bergelar penuntut.

"Pekerjaan ini memberi kebebasan untuk saya memilih masa dan lokasi berdekatan tempat tinggal supaya tidak menanggung kos tinggi ke rumah yang perlu dicuci.


PELAJAR, Muhamad Zharif Faisal Zabidi, 25 ketika temubual di Pusat Latihan Maid Easy, Casa Utama Townvilla. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

"Setakat ini, saya sudah membersihkan hampir 100 rumah di sekitar Shah Alam, Ampang dan Wangsa Maju dengan memperoleh purata pendapatan RM1,500 sebulan.

"Saya bertuah mendapat sokongan rakan dan keluarga, terutama ibu dalam melakukan pekerjaan ini kerana berusaha mencari duit poket daripada melepak sahaja di rumah pada waktu lapang," katanya ketika ditemui BH Plus di sini.

Lumrah alam kerjaya, Muhd Zharif Faisal tidak terlepas diuji dugaan, malah pernah 'disakat' pelanggan lelaki ketika mencuci rumah tetapi beliau kekal tenang dan menyempurnakan tugas sebaik mungkin.

"Saya sudah bersedia menempuhi asam garam dunia pekerjaan. Justeru, cabaran dihadapi tidak pernah melemahkan semangat diri," kata anak sulung daripada dua adik-beradik itu yang mengamalkan `ringan tulang' membantu ibu melakukan kerja rumah.

Usaha Muhd Zharif Faisal membuktikan sebilangan pelajar ternyata berani keluar daripada kebiasaan dengan menceburi perkhidmatan mencuci rumah ketika ramai mahasiswa lebih cenderung bekerja di restoran makanan segera berikutan kos sara hidup kian meningkat.


PELAJAR, Muhamad Zharif Faisal Zabidi, 25 (kiri) dan pelajar, Nur'ain Hikmah Sairi,22 ketika temubual di Pusat Latihan Maid Easy, Casa Utama Townvilla. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Status pengajian termasuk dalam jurusan berprofil tinggi bukan halangan untuk mereka menyingsing lengan mencuci tandas, membersihkan dapur serta mengemas ruang tamu dan bilik tidur yang ditawarkan melalui pakej asas kepada pelanggan.

Sementara itu, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Teknologi Makmal Perubatan, Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam, Nur'ain Hikmah Sairi, 22, menyertai perkhidmatan berkenaan sebulan lalu kerana mahu memanfaatkan masa terluang sepanjang cuti semester dengan mencari duit poket untuk menampung keperluan apabila kembali ke kampus nanti.

"Saya juga mahu melatih diri lebih berdikari kerana saya adalah anak bongsu daripada lima adik-beradik dan kurang mahir mengemas rumah.

"Selepas menjalani sesi latihan dan melakukan kerja mengemas di beberapa rumah, saya seperti tidak percaya apabila diri mulai mahir sehinggakan ahli keluarga serta rakan turut terkejut," katanya yang mampu meraih pendapatan RM1,000 sebulan.

Cabaran tersendiri


PELAJAR, Nur Ayreena Ayob, 21 (kanan) dan Pelajar, Nur'ain Hikmah Sairi,22 ketika temubual di Pusat Latihan Maid Easy, Casa Utama Townvilla. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia (dengan Kepujian), Universiti Selangor (UNISEL), Nur Ayreena Ayob, 21, pula akur bahawa setiap pekerjaan ada cabaran tersendiri dan bergantung kepada pendekatan masing-masing dalam menanganinya.

Sebagai pencuci rumah sejak tujuh bulan lalu, beliau tidak ketinggalan berdepan kerenah pelanggan yang cerewet, bahkan pernah dimarahi pada peringkat awal ekoran kurang pengalaman.

"Saya dan rakan sekerja juga pernah gagal menyiapkan tugasan dalam masa ditetapkan kerana rumah yang dicuci terlalu besar dengan tiga ruang tamu.

"Pelanggan terbabit mengambil pakej asas yang merangkumi ruang tamu, dapur, bilik tidur serta tandas tetapi kami cuma berjaya membersihkan satu ruang tamu dan kerja mencuci di dapur.

"Namun hasil komunikasi yang baik, pelanggan memahami situasi itu dan berpuas hati dengan keadaan ruang dibersihkan," katanya.


PELAJAR, Nur'ain Hikmah Sairi,22 ketika temubual di Pusat Latihan Maid Easy, Casa Utama Townvilla. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

INFO: Perkhidmatan mencuci rumah ditawarkan

Pakej pembersihan asas (empat jam)
- Ruang tamu, dapur, bilik tidur dan tandas
- Seorang pekerja

Pakej pembersihan asas (lapan jam)
- Ruang tamu, dapur, bilik tidur dan tandas
- Seorang pekerja

Pakej pembersihan pindah masuk/keluar
- Pekerja berkumpulan

Pakej 'Spring Cleaning'
- Pekerja berkumpulan

Keterangan gambar:

1. Tugas pencuci rumah meliputi mengemas bilik tidur.

2. Nur'ain Hikmah tekun melakukan kerja mengemas ruang tamu.

3. Nur'ain Hikmah (kiri) dan Nur Ayreena membersihkan dapur.

4. Muhd Zharif Faisal turut menyeterika pakaian mengikut pakej permintaan pelanggan.

5. Perbincangan bagi memastikan kerja pembersihan rumah berjalan lancar.

6. Pencuci rumah melakukan kerja pembersihan dengan teliti demi kepuasan pelanggan.

7. Muhd Zharif Faisal Zabidi

8. Nur Ayreena Ayob

9. Nur'ain Hikmah Sairi

PELAJAR, Nur Ayreena Ayob, 21 ketika temubual di Pusat Latihan Maid Easy, Casa Utama Townvilla. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon
PELAJAR, Nur Ayreena Ayob, 21 ketika temubual di Pusat Latihan Maid Easy, Casa Utama Townvilla. - Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Berita Harian X