Rabu, 1 March 2017 | 11:51pm

Kedah, Selangor terikat di Selayang


PEMAIN Kedah, Khairul Helmi (tengah) bersaing bola di udara dengan pemain Selangor, Victor Astafei pada perlawanan liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. - Foto Osman Adnan

SELAYANG: Hasrat Kedah untuk merampas status pendahulu Liga Super daripada Pahang berkecai pada minit terakhir apabila diikat 1-1 oleh Selangor pada aksi liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Ketika mereka hampir meraikan untuk membawa pulang mata penuh selepas mendahului menerusi sepakan percuma Sandro da Silva, Juliano Mineiro muncul pemusnah selepas merembat masuk sepakan penalti Victor Astafei yang ditepis Mohd Ifwat Akmal pada minit akhir perlawanan untuk mengikat kedudukan 1-1.

Bagaimanapun, Kedah masih boleh berbangga dengan terus kekal kebal apabila belum lagi tewas dalam tujuh aksi perlawanan liga meskipun terpaksa berpuas hati kekal di tangga kedua liga dan ketinggalan satu mata di belakang skuad Tok Gajah.

Helang Merah dikejutkan dengan jaringan pembukaan namun mereka harus berterima kasih kepada penjaga garisan apabila jaringan Victor Astafei dibatalkan susulan dia berada dalam keadaan ofsaid ketika menerima hantaran lintang Raimi Md Nor pada minit ke-10.

Seminit berselang, Kedah menguji gawang Selangor menerusi sepakan percuma Mohd Fitri Omar namun sedikit tersasar melepasi palang sebelum Khairul Azhan Khalid tangkas menepis percubaan Liridon Krasniqi pada situasi satu lawan satu pada minit ke-24.

Babak kedua yang berlangsung atas permukaan padang yang basah akibat hujan mengakibatkan aksi hambar apabila kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan berhati-hati.

Ketika perlawanan berbaki 10 minit, kesilapan pemain Selangor yang menjatuhkan Mohd Syazwan Zainon sehingga memberikan sepakan percuma kepada Kedah akhirnya mengundang padah apabila Sandro menyempurnakannya dengan baik sehingga Khairul Azhan terpaku dan hanya mampu melihat bola memasuki gawang.

Namun kegembiraan Kedah musnah apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan selepas Syahmi Safari dijatuhkan dalam kotak penalti dan meskipun Ifwat berjaya menepis sepakan Astafei, Juliano mudah menolak masuk ke dalam gawang Kedah untuk mereka berkongsi satu mata.

37 dibaca
Berita Harian X