Rabu, 1 March 2017 | 9:20pm

Naza serah 3 Peugeot 408

GURUN: Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd (Naza) menyerahkan tiga kereta jenis Peugeot 408 kepada tiga institusi kemahiran bagi membantu pelajar yang mengikuti kursus automotif.

Ketua Pegawai Operasinya, Roslan Abd Ghani berkata, sumbangan menerusi Yayasan Tan Sri SM Nasimuddin di bawah cabang pendidikan itu adalah antara tanggungjawab sosial korporat (CSR) Naza kepada masyarakat.

Tiga institusi itu ialah Giatmara Bukit Mertajam, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Perai dan ILP Jitra.

"Saya harap, pemberian ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar bagi memantapkan lagi ilmu mereka dalam bidang kejuruteraan automotif," katanya pada Majlis Sumbangan Kenderaan Latihan dan Pembelajaran kepada institusi berkenaan di sini, hari ini.

Roslan berkata, dianggarkan 20 peratus daripada kira-kira 700 pelajar di ILP Jitra dan 136 di ILP Perai, Pulau Pinang serta 20 pelajar bidang automotif di Giatmara Bukit Mertajam, bakal mendapat manfaat daripada sumbangan itu.

"Kebanyakan kereta yang mereka guna untuk pembelajaran dan latihan sebelum ini adalah dari Jepun, ini adalah kereta pertama buatan Eropah yang mereka dapat.

"Dari segi elektronik, ada banyak perbezaan, justeru kita akan turut membekalkan data teknikal untuk rujukan mereka," katanya.

BERNAMA

Berita Harian X