Rabu, 1 March 2017 | 8:43pm

Bomba selamatkan lelaki cuba terjun dari tingkat 12

Kuala Lumpur: Anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cuba terjun dari koridor rumahnya di tingkat 12, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Kampung Batu di sini, tengah hari tadi.

 

Bomba yang menerima laporan pada jam 1.14 tengah hari, bergegas menghantar satu jentera bersama tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gombak Selatan ke lokasi.

 

Komander Operasi, Pegawai Bomba Johari Kamin , mangsa yang dipercayai mabuk ketika kejadian terpaksa dipujuk oleh anggota bomba sebelum berjaya ditangkap.

 

"Anggota kita mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk mangsa sebelum mereka berjaya menangkap dan menariknya masuk ke dalam rumah.

 

"Mangsa kemudian dibawa turun ke bawah dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sabtu lalu, anggota BBP Seputeh berjaya menyelamatkan seorang wanita warga asing yang terjun dari koridor tingkat satu rumah kedai di Jalan Kuchai Lama, di sini.

 

Dalam kes berkenaan, beberapa anggota bomba sempat menyambut wanita itu selepas dia meronta-ronta dan terlepas dari pegangan anggota bomba yang cuba menariknya di tingkat satu.

 

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa selamat dan hanya terseliuh di kaki.

Berita Harian X