Rabu, 1 March 2017 | 5:29pm

Zain harap rumah tangga kekal ke jannah


ZAIN Saidin tidak mengharapkan limpahan kemewahan daripada Rozita Che Wan, sebaliknya mendoakan rumah tangga yang dibina bersama aktres dan ahli perniagaan berkenaan berkekalan hingga ke syurga.

KUALA LUMPUR: Pelakon Zain Saidin, tidak mengharapkan limpahan kemewahan daripada Rozita Che Wan, 44, sebaliknya mendoakan rumah tangga yang dibina bersama aktres dan ahli perniagaan berkenaan berkekalan hingga ke syurga.

Bintang Oh My English! itu berkata demikian ketika ditanya mengenai hadiah istimewa daripada isteri sempena sambutan hari lahirnya yang ke-33, pada 23 Februari lalu.

Menurut Zain, isterinya yang lebih mesra disapa Che Ta ada memberikannya hadiah ketika meraikan ulang tahun kelahirannya, namun dalam bentuk wang ringgit.

"Che Ta hanya memberikan saya duit supaya saya dapat beli apa saja hadiah diinginkan. Begitupun, saya belum memutuskan apa yang harus dibeli.


ZAIN saidin sambut ulang tahun ke 33 tahun pada 23 Februari lalu.

"Apabila sudah dewasa, hadiah material bukan lagi keutamaan. Lebih baik duit itu saya simpan untuk kegunaan masa hadapan. Saya dapat juga gunakan untuk membayar pelbagai bil, termasuk cukai.

"Pada zaman sekarang, lebih baiklah duit yang kita ada dijadikan wang tabungan. Saya, umpamanya, kena fikir masa hadapan diri dan keluarga," katanya kepada BH Online.

Kata Zain lagi, pada usianya ketika ini, beliau lebih banyak memikirkan hal keluarga berbanding diri sendiri.

"Saya harus menjadi lelaki lebih matang dan mengutamakan keluarga. Kini, saya sendiri lebih tenang ketika melakukan sesuatu perkara, begitu juga dalam membuat keputusan," katanya.

Ketika ini, Zain turut dilihat memperlahankan aktiviti lakonannya, sebaliknya lebih memberikan tumpuan kepada perniagaan kasut, ZapatoS yang diceburinya. Malah, beliau sudah mempunyai butik kasutnya sendiri di Subang Taipan.

Berita Harian X